Lina Rosli Diterbitkan 17 November 2021

Cara Memilih Yogurt Yang Baik Untuk Kesihatan Anda

Yogurt sering dipasarkan sebagai makanan yang sihat. Walau bagaimanapun, sesetengah yogurt mengandungi gula dan perasa tambahan yang boleh mengubah sifat dan nutrisi asalnya.

Jadi, Tajria hari ini ingin berkongsi tips untuk memilih jenis yogurt yang bersesuaian selain mengetahui serba sedikit informasi menarik mengenai yogurt yang anda pilih.


Panduan Memilih Yogurt Yang Baik Untuk Kesihatan

Berikut adalah tips yang boleh anda praktikkan sewaktu memilih yogurt yang tersedia di rak pasaraya:

Sentiasa Baca Label

Membaca label adalah langkah pertama yang penting untuk anda praktikkan ketika hendak memilih makanan atau minuman. Ini kerana, sekiranya anda memahami label, ia lebioh mudah untuk anda membuat penilaian selain membantu anda mengetahui kandungan sebenar dalam makanan anda.

Jika anda tahu apa yang perlu dicari, label boleh memberitahu anda banyak tentang setiap yogurt.


Lihat Senarai Ramuan

Walaupun kebanyakkan yogurt bermuladari asas yang sama, namun terdapat sesetengah yogury mengandungi pelbagai bahan tambahan, seperti gula, perisa tiruan, pewarna, penstabil dan pengawet.

Jika boleh, pilih yogurt dengan sedikit bahan. Apa yang penting adalah bahan utamanya iaitu susu dan kultur bakteria yang digunakan untuk menukar susu menjadi yogurt. Jika anda mengambil yogurt berasaskan bukan tenusu, plangkah yang sama perlu dilakukan iaitu pastikan senarai ramuan anda mengandungi senarai bahan yang minimal..

Elakkan semua yogurt yang mempunyai sebarang jenis gula tambahan dalam senarai ramuan seperti:

  • sukrosa
  • sirap fruktosa tinggi
  • jus buah-buahan
  • tebu atau madu
Ketahui Fakta Pemakanan

Fakta pemakanan pada label boleh memberi anda beberapa maklumat yang paling khusus.

Sebagai contoh, saiz hidangan dan kalori setiap hidangan disenaraikan di bahagian atas label. Melaluinya anda boleh mengetahui berapa banyak karbohidrat, lemak, protein dan gula dalam setiap hidangan yang anda ambil.

Sebagai tips, cari yogurt yang mengandungi kuantiti vitamin D dan kalsium yang tinggi bagi memenuhi keperluan harian anda.


Apa Yang Perlu Dielakkan Sewaktu Memilih Yogurt?

Berikut adalah 2 perkara yang harus anda elakkan sewaktu membeli yogurt:

Memilih Produk Yogurt Dengan Nilai Gula Yang Tinggi

Untuk pengetahuan anda, yogurt sudah mengandungi beberapa gula semulajadi dalam bentuk laktosa. Oleh itu, anda tidak perlu menambah gula untuk memberikan rasa yang lebih manis.

Tahukah anda, yogurt biasa biasanya mengandungi sekitar 9 hingga 12 gram karbohidrat setiap cawan, sementara jumlah yogurt berperisa atau manis yang sama boleh mengandungi 30 atau lebih gram dengan mudah untuk saiz hidangan yang sama?

Oleh itu, sewaktu memilih yogurt, pilih jenama dengan gula paling sedikit setiap hidangan. Biasanya, pilihan terbaik ialah yogurt biasa tanpa rasa. Tetapi jika anda tidak suka yogurt biasa, terdapat beberapa perkara yang anda boleh cuba seperti meletakkan buah segar kegemaran anda di dalam hidangan yogurt.

Mengambil Yogurt Yang Rendah Lemak

Yogurt diperbuat daripada produk tenusu sama ada tenusu jenis lemak penuh, rendah lemak atau bebas lemak.

Ramai yang mempercayai produk tenusu rendah lemak atau bebas lemak mempunyai kandungan kalori yang lebih rendah. Tetapi sebenarnya yogurt rendah lemak biasanya mengandungi lebih banyak gula yang ditambah untuk mengimbangi kehilangan rasa daripada lemak.

Oleh itu, jika anda memilih yogurt rendah lemak, pastikan anda mencari yang tanpa gula tambahan. Kadangkala, lemak yang terdapat dalam produk tenusu penuh lemak mungkin bermanfaat.

Akhir sekali, perkara yang paling penting adalah elakkan pengambilan yogurt yang telah dirawat dengan haba atau dipasteurisasi selepas probiotik ditambah. Hal ini kerana, pasteurisasi membunuh semua bakteria, jadinya ia berkemungkinan besar akan membunuh bakteria yang memberi manfaat kepada anda.