Carian
Kenapa Anda Tidak Boleh Cabut Uban Dari Kulit Kepala?
November 19, 2021 Lina Rosli

Apabila usia anda sudah mula mendekati awal 30-an, sudah tentu anda perasan akan perubahan yang berlaku kepada diri anda. Ia merangkumi perubahan fizikal dan juga mental.

Dari sudut fizikal, antara perubahan yang paling jelas dan ketara berlaku termasuklah penuaan kulit dan juga pertumbuhan uban pada kulit kepala. Bercerita mengenai uban, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada perubahan in seperti kekurangan vitamin B, zink, dan penyebaran radikal bebas yang menyebabkan tekanan oksidatif dan membawa kepada penurunan melanin sekaligus menggalakkan uban. 


Apa Yang Menyebabkan Tumbuhnya Uban Pada Kulit Kepala?

Namun, untuk sesetengah kes, perubahan warna rambut ini juga boleh berlaku semula jadi. Ia disebabkan oleh faktor kulit kepala yang kering sehingga mula membuatkan warna rambut menjadi putih.

Untuk pengetahuan anda, penghasilan warna pada rambut adalah disebabkan oleh pigmen yang dipanggil melanin yang menghasilkan folikel rambut. Folikel pula adalah struktur dalam kulit yang mengeluarkan rambut. Oleh itu, apabila penuaan berlaku folikel membuat kurang melanin, dan ini menyebabkan rambut kehilangan warna asalnya.


Bolehkah Anda Mencabut Uban?

Pernahkah anda mendengar mitos yang menyatakan jika anda mencabut uban, ia akan menyebabkan 10 lagi tumbuh di tempatnya?

Hakikatnya, ia adalah tidak benar. Menurut laporan dari UAMS oleh Dr. Shaskank Kraleti, mencabut uban hanya akan menjadikan satu bilangan rambut uban hilang, dan akan tumbuh rambut putih yang baru di dalam folikel yang sama. Sementara rambut di sekelilingnya tidak akan terkesan dan tidak menjadi putih sehingga sel pigmen folikel mereka sendiri mati.

Jadi bolehkah anda mencabut uban? Jawapannya adalah tidak digalakkan kerana ia akan menghasilkan trauma pada kulit kepala.


Malah, dalam jangka masa panjang, anda sebenarnya melakukan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan. Antaranya, ia boleh merosakkan folikel ke tahap yang mana ia tidak lagi menumbuh dan mengeluarkan rambut,.

Lebih-lebih lagi jika anda berulang kali mencabut uban, ia boleh menyebabkan jangkitan, pembentukan parut dan tompok botak. Sekiranya lebih teruk, tabiat mencabut uban ini akan mewujudkan penampilan rambut gugur dan rambut yang lebih nipis.

Namun, jika anda mampu mencabut rambut dengan berhati-hati tanpa menyebabkan kerosakan, ia tidak menjadi masalah. Harus diingatkan, apabila folikel menghasilkan kurang melanin, ia turut akan menawarkan jumlah sebum yang lebih sedikit sehingga menjadikan kawasan di sekitarnya kering dan boleh menyebabkan luka dan gatal apabila dicabut

Jadinya, langkah terbaik yang boleh dilakukan jika anda perasan uban adalah mengabaikannya. Hal ini kerana, ia lebih selamat untuk jangka panjang dan tidak memberi kesan dan risiko lain kepada kulit kepala. Sekiranya terdapat helaian kelabu yang mesti anda buang, potong dengan berhati-hati dan bukannya mencabutnya. 

Komen