Carian
Zalora Trender 2021 – Individu Kini Lebih Gemar Membeli Pakaian Sukan, Minyak Wangi Dan Serum Wajah Di Platform Edagang
November 23, 2021 Lina Rosli

Zalora sebelum ini telah melancarkan perkhidmatan penyelesaian data yang akan membolehkan jenama memanfaatkan sepenuhnya data transaksi yang dinamakan TRENDER.

TRENDER kini digunakan secara meluas di 6 buah negera termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura. Bukan itu sahaja, ia menampilkan sekitar 4 juta pengguna aktif berbanding tahun 2020 sebanyak 3 juta serta membawakan jualan mudah alih sebanyak 81%.


Mengulas lanjut mengenai TRENDER, terdapat beberapa isu atau trend yang telah berubah dalam tabiat jual-beli dalam kalangan pengguna pada tahun 2021 yang mana ia telah menunjukkan beberapa peningkatan pembelian dan tabiat pengguna di dalam beberapa kategori fesyen.

Golongan Milennial Kini Mula Peka Dengan Penawaran Fesyen Lestari

Selari dengan peningkatan penawaran produk lestari daripada pelbagai jenama fesyen di seluruh dunia, ia turut menunjukkan peningkatan pembelian dalam kalangan pembeli lebih-lebih lagi golongan milennial dan gen Z. 

Golongan ini dilihat banyak bereksperimen dengan fesyen dan telah membuka jalan kepada penawaran lebih banyak jenama fesyen tempatan untuk memperluaskan penawaran serta memenuhi keperluan pasaran.


Faktor luaran lain seperti budaya pop, pekerjaan, dan hobi memainkan peranan penting dalam membentuk kumpulan pengguna fesyen Asia Tenggara yang kompleks.

Lebih Ramai Memilih Untuk Mendapatkan Pakaian Sukan Berbanding Kategori Fesyen Lain

Berbanding tempoh kawalan pergerakan sepanjang Covid-19 yang lepas, tabiat pengguna sedikit sebanyak telah mula berubah yang mana terdapat penurunan sekitar 9% bagi kategori pakaian wanita.

Ini mungkin berikutan pembukaan semula kedai fizikal di Malaysia, maka kebanyakan individu sudah mula mencari keperluan menerusi pembelian secara bersua muka.

Namun, untuk pakaian sukan, ia mengalami peningkatan yang minimal iaitu sebanyak 24% transaksi jualan diterima berbanding 20% pada zaman pra-Covid. Peningkatan ini mungkin dipengaruhi oleh perubahan gaya hidup bagi kebanyakan individu ke arah lebih sihat.

Bukan itu sahaja, individu juga dilihat berbelanja untuk keperluan kecantikan. Namun, terdapat peningkatan yang ketara bagi produk minyak wangi dan juga penjagaan wajah yang melibatkan serum dan juga rawatan kecantikan.


Faktor Yang Mendorong Peningkatan Pembelian Di Edagang

Sememangnya penawaran diskaun dan potongan harga adalah faktor utama yang menjadikan edagang masih lagi relevan dan rancak pada masa sekarang. Hal ini kerana, pesaingan dalam pasaran fesyen ini adalah sangat sengit yang mana memerlukan para peniaga untuk bersaing dengan pantas untuk mendapatkan perhatian pelanggan.

Selain itu, antara faktor lain yang turut mendorong kepada peningkatan pembelian di edagang termasuklah:

  • 38% menyatakan tawaran harga barangan di platform atas-talian adalah lebih rendah berbanding di kedai fizikal
  • 31% menyatakan penawaran variasi pilihan kaedah pembayaran menjadikan platform atas-talian lebih digemari ramai
  • 30% turut menyatakan bahawa penawaran caj penghantaran percuma menjadi faktor mengapa individu memilih edagang 

TRENDER – Memudahkan Pengguna Memahami Tabiat Pembelian Secara Atas-Talian 

Menerusi TRENDER, jenama mempunyai akses untuk menganalisis data transaksi pengguna termasuk pandangan pengguna, segmentasi geografi, tabiat membeli dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, dengan perkhidmatan seperti ini, ia membantu jenama untuk menggunakan data ini dengan baik dari segi pemasaran, penjualan dan juga perancangan produk.

Berdasarkan data yang ditampilkan, jenama produk yang ditawarkan di dalam platform berkenaan adalah lebih tertumpu kepada barangan wanita yang mana sekitar 76% secara keseluruhan. Manakala, antara sub-kategori yang popular dalam kalangan pembeli di Malaysia adalah beg, dompet dan juga kasut.

Bergerak ke hadapan, Zalora menyasarkan untuk mengurangkan jurang penawaran antara pengguna dari pinggir bandar dan juga bandar dalam mendapatkan keperluan pada masa akan datang. 

Oleh itu, TRENDER dilihat sebagai inisiatif dari Zalora dalam menawarkan ekosistem digital yang mudah untuk diakses pengguna dan juga rakan kongsi dari pelbagai jenama.

Komen