Sebenarnya, keladi dan keledek adalah sayuran akar yang sangat berbeza. Secara luarannya, keledek atau ubi keledek hadir dalam pelbagai saiz dan warna seperti oren, putih dan ungu. Sementara keladi pula mempunyai saiz yang lebih besar selain rupa luarannya yang kasar dan bersisik, namun pada bahagian dalamnya mempunyai isi yang berwarna putih.


Keladi Atau Keledek – Mana Lebih Baik?

Berikut adalah beberapa perbandingan dari segi rasa, penampilan, kelebihan nutrisi dan lokasi pengeluaran keladi dan keledek. 

Perbezaan: Rasa

Keledek kebiasaannya lebih manis jika dibandingkan dengan keladi. Mereka mempunyai rasa serba boleh yang mudah untuk diubah mengikut kaedah memasak. Jika untuk masakan Melayu, keledek boleh juga digunakan ketika membuat Mi Udang yang mana ia ditambah sebagai pelengkap rasa lemak dan manis.

Sementara untuk keladi pula, rasanya adalah berkanji dan lebih seperti kentang. Keladi juga biasanya tidak terlalu manis dan lebih banyak digunakan di dalam kuih atau manisan tradisional.

Perbezaan: Penampilan

Majoriti keledek yang dijual di Malaysia adalah berwarna oren dan ungu. Namun, ada juga warna seperti merah dan juga putih. Jika anda berkunjung ke Cameron Highlands, anda akan melihat beberapa kedai jual keledek yang ditawarkan berdekatan dengan kawasan tarikan pengunjung.


Selain itu, keledek juga cenderung kelihatan lebih kurus dan kecil daripada kentang dan mempunyai hujung yang meruncing. Namun setiap satu ini mempunyai profil rasa yang berbeza.

Manakala sesetengah keladi adalah saiz dan bentuk seperti kentang kecil yang boleh membesar sehingga 1.5m panjang dan berat melebihi berat 70kg. Kulit keladi pula akan kelihatan berwarna coklat gelap atau merah jambu muda. Sementara untuk bahagian dalam, ia boleh didapati sama ada berwarna putih, kuning, ungu atau merah jambu.


Perbezaan: Pemakanan

Keledek juga mengandungi jumlah nutrisi yang tinggi. Mereka mempunyai lebih banyak gula, protein, kalsium, zat besi, natrium, vitamin A, beta-karotena, dan air berbanding keladi.

Untuk keladi pula, ia mempunyai lebih banyak lemak, karbohidrat, serat, kalium, vitamin C, vitamin B6, dan vitamin E jika dibandingkan dengan keledek.

Perbezaan: Pengeluaran

Di Malaysia, keledek ditanam secara meluas di Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang mana kira-kira 41, 244 tan metrik keledek telah dihasilkan pada tahun 2017.

Untuk pengetahuan anda, keledek memerlukan masa menanam yang panjang dan sering ditanam ketika musim panas. Ia mengambil masa kira-kira 4 bulan sebelum boleh mula dituai.

Jika di Malaysia, keladi adalah industri yang agak kecil, tetapi salah satu tanaman kontan yang penting di Malaysia. Pada 2013, Malaysia mengeluarkan sekitar 3,342 tan metrik keladi yang diusahakan di kawasan tanah seluas 403 hektar. Bukan itu sahaja, keladi ditanam oleh petani kecil dengan tanaman lain seperti kelapa sawit, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Khasiat Keledek Dan Keladi

Seperti yang anda ketahui, keledek adalah sumber beta-karotena yang sangat tersedia dan mempunyai keupayaan untuk meningkatkan tahap vitamin A anda.

Selain itu keledek juga kaya dengan antioksidan, terutamanya karotenoid, yang dianggap membantu melindungi daripada penyakit jantung dan mengurangkan risiko kanser. Ia bergantung kepada jenis keledek tertentu, terutamanya jenis ungu, ia dianggap sebagai antioksidan tertinggi yang juga jauh lebih tinggi daripada buah-buahan dan sayur-sayuran lain.


Untuk keladi pula, terdapat bukti terhad bahawa ekstrak keladi boleh menjadi ubat yang berguna untuk mengurangkan gejala menopaus. Dalam satu kajian, wanita menopaus mendapati bahawa pengambilan ubi yang tinggi selama 30 hari meningkatkan tahap hormon, mengurangkan kolesterol LDL dan meningkatkan tahap antioksidan.

Namun, harus diingatkan bahawabagi setiap manfaat kesihatan, ia masih perlu dirujuk dengan pakar kesihatan untuk mengetahui kesesuaiannya dengan tubuh setiap individu.