Carian
Bilakah Anda Perlu Menukar Peralatan Dan Perkakas Rumah
November 26, 2021 Lina Rosli

Bilakah kali terakhir anda menukar peralatan dan perkakas dapur di rumah anda? Jika belum pernah tukar, adakah peralatan tersebut masih berfungsi?  Sekiranya ia sudah tidak berfungsi, maka ia adalah petanda untuk anda mula mencari penggantinya yang baru. 

Kebanyakan peralatan dan perkakas dapur mempunyai jangka hayat sekitar 2 hingga 3 tahun. Yang mana selepas daripada tempoh tersebut, ia berkemungkinan besar, peralatan dan perkakas dapur yang anda gunakan tidak lagi dapat beroperasi dengan lancar. Lebih-lebih lagi jika anda menggunakannya setiap hari.

Walaupun anda melakukan penyelenggaraan yang stabil dan kerap untuk perkakas dapur, namun kebanyakannya tidak akan berfungsi dengan baik setelah beberapa tahun penggunaan. 

Untuk mengetahui tempoh tukar bagi setiap peralatan dan perkakas dapur, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda tips untuk mengetahui bilakah anda perlu menukarnya kepada yang baharu.

Kuali Non-Stick

Apabila kuali non-stick anda mula menunjukkan banyak calar, atau apabila makanan anda mula melekat lebih daripada biasa, sudah tiba masanya untuk menukarnya kepada yang baharu.

Hal ini kerana, anda akan perlu mengambil masa tambahan menyental kuali anda dengan bersih, selain kuali itu juga mula mengeluarkan bahan kimia berbahaya.


Dalam erti kata lain, jika anda melihat apa-apa calar atau mengelupas, sudah tiba masanya untuk mendapatkan kuali non-stick dengan segera.

Periuk Dan Kuali Keluli Tahan Karat

Jika anda mendapati sebarang tompokan air atau perubahan warna akibat haba pada kuali keluli tahan karat anda, ia biasanya tidak menjejaskan keupayaan mereka untuk memasak makanan kerana tanda tersebut biasanya hanya di permukaan.


Tetapi jika pemegang pada bekas alat memasak anda longgar dan anda tidak boleh mengetatkannya, maka cari yang baharu. Peraturan praktikal yang baik adalah menggantikannya kira-kira setiap lima tahun. Lihat kuali anda dengan kerap. Apabila ia mula kelihatan melengkung, berubah warna atau tercalar, pastikan anda berhenti menggunakannya.

Pengisar

Jika anda membeli pengisar yang murah dan cuba melakukan kerja yang berat dan sukar, ia boleh menyebabkan motornya terbakar dengan cepat.

Bukan itu sahaja, jika pengisar anda sudah bocor pada bahagian bawah, ia sudah tentu akan menyukar mesin untuk mengisar dan mengadun bahan makanan sekaligus akan mengeluarkan bau seakan terbakar.


Oleh itu, jika motor sudah terbakar, maka sudah tiba masanya anda mencari yang baharu. Jadinya, berapa lama pengisar tahan? Secara amnya, pengisar yang kurang berkuasa akan bertahan tiga hingga lima tahun, manakala model yang lebih mahal dengan motor berkuasa akan bertahan kira-kira 10 tahun.

Cerek Elektrik

Untuk cerek elektrik pula, kebiasaannya jika ia sudah mula rosak dan mengambil masa lebih lama untuk dipanaskan, atau tidak panas langsung, sudah tentu ia perlu ditukar kepada yang baharu.

Tetapi secara amnya, selagi anda menjaga cerek anda dengan baik dan ingat untuk membersihkannya dengan baik, ia harus bertahan selama beberapa tahun.


Pembakar Roti

Penyebab utama yang boleh memendekkan jangka hayat pembakar roti anda adalah apabila ia tidak dibersihkan dengan betul selain serbuk roti yang tidak dibuang mengakibatkan pembakar roti tidak tahan lama.

Jadi bilakah masa pembakar roti anda untuk ditukar? Jika perkakas anda memanggang tidak sekata, mengambil masa lebih lama daripada biasa, atau menunjukkan tanda-tanda karat, ini adalah masa yang baik untuk menaik taraf kepada yang lebih baik.


Banyak pembakar roti yang lebih baharu mempunyai ciri baharu yang menarik dan berguna seperti model dengan skrin LED dan tetapan roti bakar yang boleh diubahsuai meningkatkan rutin memasak anda dalam lebih daripada satu cara.

Alat Memasak Kayu

Peralatan memasak kayu adalah pilihan paling popular dalam kalangan para ibu di rumah. Hal ini kerana ia mudah dikendalikan selain tidak merosakkan kuali ketika menumis dan memasak.

Walau bagaimanapun, anda harus menggantikan mana-mana alatan kayu sejurus selepas ia mula retak atau pecah. Ia kerana retak boleh menyebabkan celah yang boleh menjadi tempat pengumpulan sisa makanan dan bakteria.


Spatula Getah

Sama juga seperti peralatan kayu, apabila anda mula perasan spatula getah anda pecah atau retak, maka perlunya untuk menukar yang baharu. Hal ini kerana, anda pastinya tidak ingin ada kuman yang bersembunyi di celah-celah itu.


Pisau

Untuk pisau pula, sudah tibanya masanya untuk anda menukar yang baharu sekiranya sudah tumpul kerana ia adalah lebih berbahaya daripada pisau yang tajam, kerana pisau yang tumpul boleh menyebabkan kemungkinan tergelincir dan luka.


Walaupun pisau biasanya boleh diasah dan bukannya diganti, jika pemegang pada pisau telah haus, atau jika teknik mengasah tidak lagi berfungsi, sudah tiba masanya untuk menggantikan pisau anda.

Anda juga disyorkan untuk melabur dalam pisau berkualiti tinggi dan bukannya pisau yang murah agar ia dapat bertahan lebih sedekad jika ia disimpan dalam keadaan baik.

Komen