Lina Rosli Diterbitkan 26 November 2021

Berapa Lama Tempoh Penyimpanan Kurma Dan Kacang Di Dapur?

Untuk segelintir individu, mereka gemar untuk membeli barangan dapur pada kuantiti yang banyak. Lebih-lebih lagi kurma dan juga kekacang.

Tidak dinafikan kedua-duanya mempunyai tempoh hayat yang lama disebabkan kurma dan juga kacang telah dikeringkan terlebih dahulu sebelum ia dipasarkan dan kemudiannya di simpan di dapur rumah anda.

Namun, bagaimana anda boleh mengetahui sama ada kurma dan kacang yang telah disimpan masih lagi elok dan dalam keadaan baik untuk dimakan?


Tempoh Hayat Kurma Dan Kekacang

Bercakap mengenai buah kurma, ia sangat popular dalam kalangan individu apabila bulan Ramadan. Namun, sesudah ia tamat, pastinya ia tidak lagi kerap diambil di dalam hidangan harian. 

Kurma dilihat boleh bertahan lama berbanding buah-buahan lain seperti pisang, epal dan limau. Jika disimpan pada suhu bilik, iaitu pada suhu sekitar 27 hingga 32 darja celsius, ia dijangka boleh bertahan antara satu bulan hingga 3 bulan. Sementara jika anda menyimpannya di dalam peti sejuk, kualitinya akan terjamin antara 6 hingga 12 bulan.


Sekiranya buah kurma anda tidak begitu kering yang mana isi di dalamnya lembut, jangka hayatnya akan lebih pendek jika dibandingkan dengan jenis yang lebih kering.

Sementara untuk kekacang pula, anda perlu menyimpannya dengan betul supaya ia tidak mudah lemau dan akan kekal rangup. Ia boleh disimpan sehingga satu tahun. 

Bagaimana Boleh Mengetahui Jika Kurma Dan Kacang Sudah Tidak Elok?

Pertama sekali untuk kurma, anda perlu melihat sama ada warnanya bertukar gelap selain turut berbau busuk. Sekiranya penampilan dari segi luaran dan baunya seperti biasa, anda boleh juga cuba rasa sedikit bahagian pada kurma.

Sekiranya rasanya tidak sesuai dengan citarasa dan pilhan anda, makanya kurma tersebut tidak lagi boleh dimakan dan perlu dibuang bagi menjamin kesihatan anda.


Kacang jenis badam, walnut atau kacang yang di dalam kategori nuts adalah lebih mudah rosak berbanding legume seperti kacang soya, kacang dal atau kacang hijau.

Hal ini kerana ia agak halus dan cepat terurai jika terkena haba, cahaya, atau oksigen. Pecahan itu akan menyebabkan kacang dan biji menjadi tengik dan memberi mereka rasa pahit dan mengakibatkan anda sakit perut.