Carian
Kerap Sakit Tapak Kaki? Ini Adalah 3 Senaman Yang Boleh Anda Lakukan Untuk Melegakan Kesakitan
November 26, 2021 Lina Rosli

Bagi anda yang kerap berjalan dan berdiri untuk tempoh yang lama, sudah tentu sakit tapak kaki seperti sudah biasa dialami. Ia bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan untuk melakukan kerja, malah turut menyebabkan aktiviti harian anda juga terganggu.

Untuk pengetahuan anda, keadaan atau sakit yang paling biasa pada tapak kaki adalah keadaan yang dikenali sebagai plantar fascitis. Keadaan ini berlaku kerana kecederaan mikro dan keradangan pada tisu tapak kaki. Keradangan tisu menyebabkan sakit, bengkak dan lebam.


Fascia atau tisu pada tapak kaki terdiri daripada jalur berserabut tisu tebal di bahagian tapak kaki. Ia melapisi dari tumit ke pangkal jari kaki. Ia juga bertindak seperti getah untuk mewujudkan ketegangan dan mengekalkan bentuk kaki.

Kebiasaannya, sakit tapak kaki ini dialami oleh wanita yang mana jumlah ini dua kali ganda lebih banyak berbanding lelaki. Selain itu, perkara ini selalunya melibatkan lingkungan individu yang berusia antara 40 hingga 60 tahun.

Ketahui Gejala Sakit Tapak Kaki

Secara lazimnya, sakit tapak kaki memberikan rasa seperti kaki anda tercucuk atau terkena pada permukaan sangat tajam dan ia sering berlaku di bahagian pangkal tumit kaki. Namun, ia juga boleh tersebar ke seluruh tapak kaki.

Anda juga mungkin mengalami bengkak dan sakit bila sentuh tisu tapak kaki dengan kuat yang mana ia selalunya di tempat yang khusus iaitu bahagian dalam tumit.

Oleh itu, senaman ringan boleh dilakukan bagi mengurangkan sakit untuk sementara. Tetapi berjalan lama sering membuat sakit teruk, jadinya dengan merehatkan kaki anda biasanya boleh mengurangkan kesakitan.


Ada juga sesetengah kes yang mana, inidividu akan berasa sakit apabila melakukan regangan pada tisu tapak kaki. Hal ini mungkin menyebabkan anda tidak boleh berjalan dengan baik atau tidak dapat menanggung berat badan pada kaki yang terjejas.

Apakah Punca Sakit Tapak Kaki?

Faktor yang menyebabkan fascia plantar termasuklah:

  • Jika anda banyak berjalan, berlari, berdiri dan bergerak untuk tempoh yang lama
  • Jika anda mempunyai postur kaki yang lemah
  • Jika anda mempunyai kaki atau sendi pergelangan yang keras dan bengkak
  • Jika anda mempunyai kelemahan otot terutama otot betis.
  • Jika terdapat penggunaan yang berlebihan pada kaki atau regangan secara tiba-tiba pada tapak kaki
  • Jika anda mempunyai berat badan berlebihan yang mana akan meletakkan tekanan tambahan pada tumit anda.
  • Jika anda mempunyai perbezaan panjang kaki
  • Jika anda memakai kasut yang keras dan tidak selesa.

Senaman Untuk Tapak Kaki

Berikut adalah tiga senaman yang boleh anda lakukan:

Regangan otot betis
  1. Duduk dengan kaki anda menghulur lurus.
  2. Gunakan tuala atau tali pinggang dan lilit di bawah tapak kaki.
  3. Dengan perlahan tarik jari kaki dan tapak kaki anda ke arah anda sehingga anda berasa regangan di belakang betis dan tapak kaki.
  4. Tahan regangan tidak kurang daripada 30 saat.
  5. Ulangi latihan ini 5 hingga 10 kali dengan regangan yang sedikit dan sederhana dan tanpa sakit.
Regangan pada tapak kaki
  1. Duduk di atas kerusi dan silangkan kaki atas lutut anda yang lain.
  2. Bengkokkan pangkal jari anda dan tarik ia ke arah badan anda sehingga anda rasa regangan yang selesa.
  3. Tahan regangan tidak kurang daripada 30 saat.
  4. Ulangi latihan ini 5 hingga 10 kali dengan regangan yang sedikit dan sederhana dan tanpa sakit.

Senaman menguatkan otot betis
  1. Duduk dengan keadaan kaki lurus.
  2. Gunakan tali atai kain dan lilit di hujung tapak kaki.
  3. Perlahan-lahan gerakkan kaki dan tapak kaki anda ke bawah dengan rintangan pada theraband dan ketatkan otot betis anda dan tahan selama 10 saat.
  4. Ulangi latihan ini 10 hingga 20 kali asalkan senaman ini tidak menyebabkan kesakitan.
Komen