Sebenarnya, tiada kesan buruk ataupun perubahan fizikal yang akan berlaku sekiranya anda mematahkan pasta sewaktu ingin merebusnya.
Jadi, mengapa masyarakat Itali menetapkan syarat untuk membiarkan pasta direbus panjang di dalam periuk sehingga Al Dente?
Untuk pengetahuan anda, pasta merupakan hidangan Itali yang menjadi kebanggaan negera berkenaan. Ia bukan sahaja antara hidangan yang terkenal di dunia, malah pasta juga adalah masakan yang serba boleh yang boleh disediakan mengikut citarasa tempatan.

Terdapat beratus-ratus jenis pasta yang diperkenalkan di pasaran seperti Linguini, Ravioli, Penne, Rigatoni, Farfalle, Fusilli dan Cannelloni. Perbezaan ini biasanya melibatkan saiz dan cara masakannya kerana bagi setiap jenis pasta ini, ia mempunyai tujuan yang berbeza.
Bentuk pasta yang tertentu akan disesuaikan mengikut jenis sos yang berbeza. Sebagai contoh, pasta nipis sesuai dimasak menggunakan sos yang nipis, manakala sos yang lebih pekat berfungsi lebih baik dengan pasta yang lebih tebal dan berat.

Mengapa Masyarakat Itali Tidak Mematahkan Pasta Ketika Merebusnya?
Bagi kebanyakan budaya pemakanan di Asia, mi akan disedut terus dari mangkuk dan dipotong menggunakan gigi.
Tetapi untuk pasta, cara pemakanannya pula akan terlebih dahulu digulung pada garpu dan barulah ia dimakan. Oleh sebab itu, jika anda mematahkan pasta panjang kepada separuh, anda akan mempunyai helai yang lebih pendek yang menyukarkannya untuk dimakan.

Bukan itu sahaja, bagi memastikan pasta dapat digulung dengan baik, ia juga haruslah dimasak sehingga al dente. Ia bagi memastikan gulungan pasta tidak patah ketika dililitkan pada garpu. Hal ini biasanya terjadi jika ia terlebih masak kerana apabila anda memasaknya terlalu lama, pasta akan menjadi terlalu kembang.
Sementara jika ia tidak mencapai waktu masak yang ditetapkan pula, pasta akan terasa lebih keras dan menyukarkan anda untuk menggigit dan mengunyahnya.
Sumber: Slate New York Times