Carian
Kehebatan Ulam Raja, Penyelesaian Kepada Masalah Ingatan – Kajian Fakulti Sains Kesihatan UKM
November 30, 2021 Lina Rosli

Apabila menginjak ke umur yang lebih tua, pastinya ramai mula akan mengalami beberapa masalah dan komplikasi kesihatan sama ada pada peringkat awal dan juga kritikal.

Lebih-lebih lagi untuk warga emas, mereka sering menghadapi pelbagai keadaan kesihatan yang boleh menjejaskan kualiti hidup mereka secara keseluruhan. Jadinya, amat penting untuk anda mengetahui tentang kebimbangan kesihatan yang paling utama dan persediaan yang perlu dilakukan bagi memastikan kesejahteraan diri pada masa akan datang.

Antara masalah yang sering menjadi kerisauan ramai adalah Alzheimer. Untuk pengetahuan anda, penyakit Alzheimer merupakan salah satu jenis demensia yang paling biasa.


Ia adalah penyakit progresif yang bermula dengan kehilangan ingatan ringan dan mungkin membawa kepada kehilangan keupayaan untuk meneruskan perbualan dan bertindak balas terhadap persekitaran. Penyakit Alzheimer melibatkan bahagian otak yang mengawal pemikiran, ingatan, dan bahasa.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 50 juta orang mengalami demensia di seluruh dunia sehingga tahun 2018 dengan hampir 10 juta kes baharu dicatatkan setiap tahun. Di Malaysia pula, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2018 mendapati bahawa sebanyak 8.6 peratus prevalens demensia dihadapi oleh warga emas.

Pengenalan Suplemen Ulam Raja Oleh Dr. You Yee Xing Dari UKM

Bercerita mengenai Alzheimer lagi, baru-baru ini Dr. You Yee Xing dari Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menemui penyelesaian kepada masalah ingatan yang sering terjadi dalam kalangan warga emas menerusi penciptaan suplemen ulam raja.


Kehebatan ulam-ulaman sememangnya sudah mendapat persetujuan ramai. Sebagai contoh ulam raja atau nama saintifiknya Cosmos Caudatus didapati mempunyai kesan antioksidan, antidiabetes, antihipertensi, antikeradangan, antimikrob dan antikulat.

Jadinya, dengan kehadiran suplemen ulam raja yang diperkenalkan Dr. You, ia dilihat mampu mencegah penyakit nyanyuk dalam kalangan warga emas dengan kehadiran kandungan polifenol dan antioksidan.

Bagaimana Suplemen Ulam Raja Berjaya Mencegah Kecelaruan Kognitif?

Suplemen ulam raja bertindak baik dalam menurunkan aras peroksida lipid, meningkatkan aras serum glutation dan mengaktifkan otak. Oleh itu, ia adalah agen yang penting dalam mencegah kecelaruan kognitif dan sekaligus meningkatkan fungsi kognitif global.

Bukan itu sahaja, kajian mengenai ulam raja juga dikatakan memberi impak positif kepada kesihatan mental masyarakat yang mana ia dapat mengurangkan ketegangan dan gangguan emosi dalam kalangan warga emas.

Sumber: Facebook UKM

Komen