Berhadapan dengan ahli keluarga tidak kira ibu , ayah, anak atau adik-beradik yang memilih makanan sememangnya bukanlah pengalaman yang menyeronokkan. Hal ini kerana, ia bukan sahaja menyukarkan anda memilih menu yang bersesuaian untuk dimasak, malah kadangkala juga menyebabkan banyak sisa hidangan yang tidak dimakan perlu diuruskan.
Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan individu yang mungkin lebih gemar untuk memesan makanan di restoran atau kedai dan kemudian memilih jenis makanan yang diminati oleh ahli rumah.
Selain menggunakan kaedah pesanan luar, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda tips dan cara penyelesaian yang mungkin dapat membantu anda menyediakan hidangan untuk ahli keluarga dengan lebih mudah sekaligus mengurangkan pembaziran makanan.
Mulakan Dengan Saiz Hidangan Yang Kecil
Apabila mencuba makanan baru, lebih baik jika anda sediakannya menggunakan saiz yang kecil. Ia kerana anda baru ingin memperkenalkan menu tersebut dan pastinya ia mengambil masa dan keberanian untuk ahli rumah mencubanya.
Tambahan, memberi bahagian yang besar kepada mereka mungkin membebankan dan menyebabkan mereka menolak makanan hanya kerana hidangan terlalu besar.
Selain itu, sekiranya mencuba makanan baru, mulakan dengan hidangan tersebut sebelum anda tunjukkan hidangan kegemaran mereka. Sebagai contoh, sajikan patti sayuran untuk dicuba oleh anak anda sebelum makan malam kegemarannya lasagna.
Jika mereka berjaya dengan bahagian yang lebih kecil, perlahan-lahan meningkatkan jumlah makanan baru pada hidangan berikutnya sehingga saiz hidangan biasa dicapai.
Ketahui Dan Bincang Senarai Makanan Yang Tidak Boleh Dimakan Ahli Rumah
Selain itu, penting juga untuk mengetahui senarai makanan yang boleh dan tidak boleh diambil oleh ahli rumah. Ketahui juga alahan yang dialami oleh mereka.
Beri perhatian kepada apa yang mereka enggan makan dengan mencatatnya dalam jurnal. Jika ada ahli keluarga yang cenderung untuk menjauhkan diri daripada makanan seperti produk tenusu, makanan yang mengandungi gluten atau sayur-sayuran silangan, mereka mungkin mengalami gejala yang tidak menyenangkan yang berkaitan dengan intoleransi makanan.
Tanya anak anda sama ada terdapat makanan yang menyebabkan mereka berasa loya, kembung atau sakit dalam apa jua cara dan ambil jawapannya dengan serius.
Libatkan Semua Ahli Keluarga Dalam Perancangan Makanan dan Memasak
Salah satu perkara paling penting yang boleh anda lakukan bersama ahli keluarga dan anak-anak adalah merancang jadual pemakanan yang mereka inginkan.
Melalui perancangan ini juga, ia dilihat baik dalam mengembangkan minat mereka terhadap makanan sekaligus menjadikan mereka terasa seperti orang yang penting dalam hal memasak.
Selain itu, membawa ahli keluarga bersama-sama ke kedai runcit juga penting dalam menggalakkan mereka memilih beberapa barangan sihat yang mereka ingin cuba boleh menjadikan waktu makan menyeronokkan dan mengujakan sambil memberi keyakinan kepada mereka.
Kurangkan Snek Tidak Sihat
Tiada masalah untuk menyimpan stok makanan ringan atau makanan segara di rumah, namun ia perlu dihadkan kerana ia boleh menjejaskan pengambilan semasa makan.
Membenarkan mereka kenyang sepanjang hari dengan makanan ringan hanya akan menjadikan mereka kurang cenderung untuk makan apabila waktu makan tiba.
Jika ingin menyediakan makanan ringan, anda boleh hidangkannya pada penghujung waktu makan bukannya pada permulaan hidangan untuk mengelakkan lauk yang dihidangkan hanya disentuh dan dijamu pada kadar yang sedikit.
Hentikan Gangguan Semasa Makan
Wujudkan persekitaran yang bebas gangguan tidak kira kepada anak, suami, isteri atau sesiapa sahaja semasa makan.
Jikalau ada kanak-kanak kecil, praktikkan untuk mereka duduk di meja makan semasa menghidangkan makanan. Ini bagi memberikan konsistensi dan memberitahu mereka bahawa ini adalah tempat untuk makan dan bukannya bermain.