Kebiasaannya, selepas anda menghantar pakaian anda untuk cucian kering di dobi, pastinya mereka akan menyediakan beg plastik ringan yang digunakan sebagai penutup untuk pakaian yang baru dibersihkan dan dibasuh.

Persoalannya, adakah ia baik untuk pakaian anda? Jika diteliti secara kasar, tujuan penggunaan beg plastik tersebut dikatakan adalah sebagai item yang membantu memastikan pakaian bersih kering dan bebas noda sehingga anda boleh membawanya pulang.


Namun, apabila anda menggantung pakaian di dalam almari anda, adakah anda perlu membiarkan pakaian anda di dalam beg untuk melindunginya?

Jawapan ringkasnya ialah tidak boleh. Sama seperti beg plastik untuk meletakkan buah-buahan, sayur-sayuran dan barang rumah yang lain, beg plastik bukan sahaja menyebabkan udara berkepam sekaligus boleh memberi kesan buruk pada pakaian anda untuk jangka masa panjang.

Mengapa Tidak Digalakkan Untuk Simpan Pakaian Dalam Beg Plastik?

Antara sebab mengapa pakaian yang baru dibersihkan tidak boleh di simpan dalam beg plastik terlalu lama adalah ia boleh menyebabkan:

  • kekuningan
  • pewarnaan
  • pertumbuhan cendawan
  • fabrik menjadi reput dan hancur

Kekuningan dan perubahan warna lain disebabkan oleh BHT atau butylated hydroxytoluene yang mana ia merupakan agen antioksidan yang digunakan dalam pembuatan beg plastik.

Oleh itu, apabila BHT terkena sebarang lembapan dan kekotoran di udara, ia membentuk pigmen kuning yang berpindah ke fabrik.

Disebabkan pakaian yang memerlukan cucian kering adalah sangat sensitif, maka ia akan memberikan kesan yang buruk pada fabrik. Walaupun anda membayangkan cucian kering biasanya tidak menggunakan air ketika mencuci, tetapi ia sebenarnya terdapat sedikit kelembapan dalam bahan kimia yang terlibat dalam pembersihan pakaian.


Bukan itu sahaja, terdapat juga proses yang melibatkan penggunaan wap untuk menghilangkan kedutan. Oleh sebab itu, jika dibiarkan di tempat untuk tempoh yang lama, wap atau lembapan yang tersisa akan terperangkap dalam beg plastik boleh menyebabkan pertumbuhan cendawan yang merupakan ancaman besar kepada integriti gentian fabrik.

Jika anda membuat kesilapan dengan meninggalkan pakaian anda yang baru dibersihkan di dalam beg plastik, maka betulkan tabiat tersebut dan mula tanggalkan beg plastik daripada pakaian sejurus tiba di rumah.