Bagi anda yang gemar menikmati hidangan yang pedas tetapi sedap, pastinya anda tidak ketinggalan dalam mencuba variasi penawaran menu ayam dengan sambal pedas yang popular seperti Ayam Penyet, Ayam Gepuk dan Ayam Geprek.
Namun apakah perbezaan bagi ketiga-tiga hidangan ini? Bagi memudahkan anda membuat pilihan akan menu apa yang menepati citarasa anda, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda perbezaan untuk tiga menu sambal pedas ini.
Apa Itu Ayam Penyet?
Untuk ayam penyet, ia sajian yang sangat popular di Malaysia sejak dahulu lagi. Ia merupakan masakan asli dari Indonesia khususnya Jawa, yang terdiri daripada ayam goreng bersama sambal dan beberapa gorengan sayur yang lain.
Untuk pengetahuan anda, untuk ayam penyet, proses penyediaannya melibatkan ayam yang diperap bersama bahan termasuk bawang putih, kunyit, ketumbar dan juga jintan. Kemudian ia direbus lalu digoreng sehingga warna keemasan.
Sementara untuk sambalnya pula, ia mempunyai rasa yang lebih menyeluruh jika dibandingkan sambal gepuk dan geprek yang mana rasanya mempunyai pedas, masam dan manis. Malah, untuk pilihan sambal juga, ada kedai yang akan menyediakannya sama ada bersama sambal hijau, sambal bawang, sambal merah dan lain-lain.

Di dalam pinggan yang sediakan ayam penyet, terdapat juga beberapa jenis penawaran lain seperti sayur-sayuran, tauhu goreng dan tempe dan juga bumbu garing yang ditabur diatas ayam. Jenis ayam penyet paling popular adalah ayam penyet Surabaya yang juga turut mempunyai sayurang kangkung sebagai pelengkap hidangan.

Apa Itu Ayam Gepuk?
Ayam gepuk pula merupakan gabungan antara ayam geprek dan ayam penyet. Pada tahun 2013, sebuah rangkaian kedai bernama Ayam Gepuk Pak Gembus telah ditubuhkan di Jakarta yang kini telahpun memasuki pasaran Malaysia.
Ayam gepuk juga hampir sama dengan ayam penyet iaitu ayamnya direbus bersama rempah atau bumbu khas hingga masak. Kemudiannya, ia akan digorengkan dengan garing dan menampilkan sambal dengan tahap yang berbeza.
Untuk sambalnya terdapat sedikit perbezaan ketara, biasanya sambal gepuk akan ada tambahan sambal kacang yang dipadankan dengan cili giling. Manakala untuk ayam gepuk pula, ia akan diketuk terlebih dahulu selepas direbus dan selepas itu barulah digoreng.
Jika anda kunjungi ke rangkaian kedai Ayam Gepuk Pak Gembus, hidangan ini juga turut ditawarkan bersama kobis bakar dan juga pilihan pedal goreng.

Apa Itu Ayam Geprek?
Ayam geprek pula akan menggunakan ayam yang tidak bertulang dan biasanya akan disalut dengan tepung goreng dan digoreng hingga garing. Jika dilihat secara kasar, ayam geprek kelihatan seperti ayam Uncle Bob yang mempunyai salutan tepung rangup diluar.
Untuk sambal geprek pula, ia disediakan mentah sahaja iaitu kesemua bahan sambal ditumbuk dan akan dimasukkan garam dan gula. Kemudian, sambal tersebut akan disiram dengan minyak panas dan dihidangkan diatas ayam panas yang garing.

Hidangan ini ayam geprek ini berasal dari Yogjakarta. Namun,ramai yang mengatakan nasi ayam geprek adalah sama dengan nasi ayam penyet kerana kaedah penyediaan akhir masakan ini adalah hampir sama.
Hal ini kerana, ia juga mempunyai sayuran dan ulam-ulaman dan dilengkapi juga sambal geprek cili kasar, kicap pekat, tauhu goreng dan sup kosong.