Baru-baru ini di Miss Grand International 2021, Miss Grand Malaysia telah memenangi Kostum Kebangsaan Terbaik pada pertandingan antarabangsa di Thailand menerusi pakaian Ulek Mayang Dan 7 Patung Puteri atau turut dikenali sebagai Seven Ancient Princesses of Ulek Mayang.

Melihat pada penampilan yang digayakan Lishalinny Kanaran, ia memperagakan kostum mewah berwarna biru gelap keemasan pada bahagian baju dan seluar. Selain turut menyertakan sekali tujuh anak patung bersaiz manusia yang melambangkan 7 puteri yang menari bersama Tuan Puteri.

Untuk pengetahuan anda, kostum Ulek Mayang mempunyai dua jenis pakaian iaitu enam daripada tujuh penari perempuan lazimnya memakai blaus tradisional seperti songket lengan panjang, selendang panjang yang dipakai di bahagian pinggang dan jari berserta sanggol pada bahagian rambut.
Manakala untuk Tuan Puteri pula akan menggunakan pakaian dan aksesori yang sama seperti enam penari lain tetapi yang berbeza dia akan memakai blaus songket lengan pendek dan warna pakaiannya juga berbeza.
Bercerita tentang kostum yang digayakan Miss Grand Malaysia lagi, ia nampaknya menerima pujian penonton sehingga berjaya menjadi 20 teratas daripada 61 ratu cantik dari seluruh dunia.

Kostum Ulek Mayang yang ditampilkan oleh Lishalinny merupakan hasil ciptaan butik pengantin Aldrin’s Artistry. Menurut Aldrin, idea kostum ini bertujuan untuk memberi penghormatan kepada tarian tradisional yang dipercayai mempunyai kuasa untuk menyembuhkan nelayan yang sakit.