Secara umumnya, terdapat kira-kira 49,623 spesies labah-labah ditemui di seluruh dunia di setiap benua kecuali Antartika sehingga Ogos 2021. Kesemua spesies labah-labah ini berasal dari 129 keluarga.
Terdapat dua labah-labah berbisa kepada manusia yang biasa ditemui di bahagian Amerika Syarikat iaitu black widow dan brown recluse.
Untuk pengetahuan anda, sarang labah-labah dibina menggunakan sutera yang dihasilkan di dalam badan labah-labah dan ditarik keluar melalui kaki belakang labah-labah.
Apa yang menarik mengenai sarang labah-labah juga, hanya labah-labah betina sahaja yang akan membina sarang. Labah-labah betina membina sarang yang lebih kukuh manakala labah-labah jantan membina sarang yang sangat kurang kompleks dan mudah.
Tahukah Anda Sarang Labah-Labah Diperbuat Daripada Jenis Sutera Berbeza?
Sutera yang dihasilkan labah-labah adalah berasal daripada serat semula jadi yang diperbuat daripada protein.
Sutera labah-labah bukan sahaja kuat dan kental malah, ia mempunyai tempoh ketahanan yang lama. Menurut NHM, labah-labah di Amerika Syarikat cenderung menghasilkan sutera yang berwarna putih atau mempunyai rona kebiruan.
Terdapat tujuh kelenjar sutera yang berbeza, yang menghasilkan sutera dengan ciri dan kegunaan yang berbeza. Malah, bagi sutera yang dihasilkan juga mempunyai kelebihan yang berbeza, iaitu:
- Sutera yang melekit. Sutera labah-labah jenis ini biasanya digunakan untuk menangkap mangsa.
- Sementara sutera yang tidak melekit atau sutera garis seret pula igunakan untuk mengukuhkan dan memberikan sokongan struktur pada web di mana sutera tersebut ditenun dalam keadaan kaku dan kering.
Ketahanan Sarang Labah-Labah Dipengaruhi Reka Bentuk Yang Dibina
Kekuatan sarang labah-labah bukan sahaja bergantung pada kekuatan sutera yang dipintal tetapi juga pada reka bentuk sarang itu sendiri.
Bagi setiap pintalan atau jaring yang dibina, ia mempunyai tindak balas yang dirasai di seluruh sarang yang mana akan menyebabkan labah-labah lebih peka kepada keadaan sarangnya jikalau terdapat makanan atau serangganya yang terperangkap.
Jenis-jenis Sarang Labah-labah
Terdapat tiga jenis sarang utama iaitu sarang bola, sarang corong atau lembaran, dan sarang labah-labah tidak teratur.
Sarang Labah-Labah Jenis Bola
Labah-labah yang membina sarang bola mempunyai lapan mata dan mereka mempunyai penglihatan yang lemah.
Untuk membina sarang, labah-labah penenun bola menetapkan asas dengan benang jejari dan rangka kerja menggunakan sutera yang tidak melekit terlebih dahulu sebelum melengkapkannya dengan sutera melekit.
Sarang Labah-Labah Jenis Corong
Sarang ini kelihatan seperti lembaran yang dipintal dari luar oleh labah-labah rumput.
Setiap helaian sutera akan memanjang ke luar dari bukaan seperti corong di bawahnya yang mana labah-labah mengintai menunggu belalang dan serangga lain yang mungkin sampai ke atasnya.
Sarang Labah-Labah Jenis Tidak Teratur
Sarang jenis ini biasanya dibina oleh labah-labah rumah yang mana mereka cenderung membina sarangnya pada waktu malam. Oleh sebab itu, sarang ini akan mempunyai helaian tengah sutera tenunan yang padat dan berfungsi sebagai tempat persembunyian labah-labah.
Akhir sekali, tahukah anda bahawa bagi labah-labah mengelakkan diri daripada terperangkap dalam sarang mereka sendiri, labah-labah mengelak berjalan di atas sutera yang melekit.
Sumber: NHM