Berbanding semua ruang dan bilik yang terdapat di dalam rumah anda, bilik tidur merupakan antara bilik yang anda luangkan banyak masa di dalamnya. Tidak kira sama ada anda gunakannya untuk tidur, melakukan pembacaan dan lain-lain, bilik tidur adalah ruang yang sangat penting dalam kehidupan anda.

Oleh itu, adalah penting untuk anda memastikan reka bentuk lampu bilik tidur anda benar-benar sesuai untuk menjadikannya tempat yang selesa untuk merehatkan kepala anda pada waktu malam ataupun untuk bangun dengan mudah pada setiap pagi dan menjalani hari anda.


Pemilihan Kecerahan Dan Warna Lampu Adalah Kunci Utama Untuk Keselesaan Di Bilik Tidur

Semasa anda memilih lampu bilik tidur anda, anda perlu mempertimbangkan jenis mentol yang akan anda gunakan untuk setiap lekapan. Bergantung pada keamatan pencahayaan mentol dan warna yang dipancarkannya, ia berpotensi memberi kesan positif atau negatif sewaktu penggunaan lampu untuk aktiviti tertentu.

Kecerahan Mentol

Pertama, anda perlu memikirkan tahap kecerahan atau lumen pilihan anda. Walaupun lumen yang dicadangkan untuk bilik tidur kebiasaannya berjulat sekitar 800 lumens, ia sebenarnya masih bergantung kepada saiz ruang dan kapasiti bilik tidur anda.

Untuk bilik tidur yang kecil, secara umumnya anda memerlukan kira-kira 10 hingga 20 lumen setiap kaki persegi, manakala bilik mandi atau dapur memerlukan tahap pencahayaan yang lebih kuat iaitu sekitar 70 hingga 80 lumen setiap kaki persegi.

Selepas menetapkan jumlah lumen maksimum mentol, anda perlu mempertimbangkan sama ada jenis mentol yang anda inginkan boleh dimalapkan dan dikawal tahap kecerahannya.


Warna Mentol

Warna terang memainkan peranan penting dengan menyokong aktiviti tertentu. Sebagai permulaan, fikirkan tentang jenis mentol yang ingin digunakan sama ada mentol pijar yang biasanya mengeluarkan cahaya putih atau lampu latar LED antara 9W hingga 15W yang kini cukup popular dan digunakan meluas di kebanyakan rumah standard.

Lampu biru dan putih meningkatkan kewaspadaan dan seterusnya menyekat pengeluaran hormon yang mendorong tidur. Jadinya, ia tidak sesuai jika anda meletakkan mentol warna ini jika anda ingin berehat di bilik tidur selepas hari yang panjang.

Sebaliknya, pencahayaan yang lebih malap seperti kuning pula tidak mengganggu pengeluaran melatonin. Jadi, warna lampu jenis hangat lembut (warm) adalah yang terbaik untuk aktiviti bilik tidur seperti membaca, menonton TV atau sekadar bersantai.


Di Manakah Perlu Anda Meletakkan Lampu Di Dalam Bilik Tidur?

Selain itu, bercakap tentang pencahayaan bilik tidur juga, anda perlu memenuhi pelbagai keperluan yang berbeza termasuk memilih pakaian, berdandan dan sebagainya.

Oleh itu, kebanyakan bilik tidur akan menggunakan sumber cahaya utama daripada lampu siling. Anda boleh memasang lampu tersebut di atas katil, sekitar 8 hingga 12 inci dari siling.

Jika anda suka membaca pada waktu malam, lampu meja sisi boleh digunakan sebagai penambah cahaya. Memilih lampu sisi katil dengan teduhan akan memberikan cahaya hangat lembut yang sesuai untuk membaca tanpa mengganggu orang lain yang mungkin sedang tidur.


Untuk tugas praktikal lain, seperti memakai pakaian atau berdanda, anda memerlukan beberapa pencahayaan fokus seperti meletakkan lampu meja atau lampu gantung rendah berwarna putih.

Anda kemudian boleh menambah beberapa pencahayaan aksen di kawasan bilik yang berbeza, untuk mencipta suasana yang menenangkan dan santai. Lampu dinding, lampu meja dan lampu lantai menawarkan alternatif yang lebih lembut dan tenang berbanding lampu utama.

Sumber: Y Lighting Pooky