Berbaki 30 hari sahaja lagi sebelum berakhirnya tahun 2021, Google telah menerbitkan senarai tahunan carian makanan paling dicari untuk tahun ini. Kebanyakan makanan ini dilihat menunjukkan lonjakan trafik tertinggi dalam tempoh yang berterusan pada 2021 berbanding 2020.
Merujuk kepada laporan Google, senarai yang dikeluarkan mengandungi beberapa resipi yang menjadi tular kesan daripada muat-naik video di TikTok selain turut tersenarai juga beberapa hidangan yang telah meningkat populariti hasil daripada beberapa detik menarik dalam budaya pop.
Berikut adalah 10 jenis makanan yang kerap dicari oleh individu dari seluruh dunia. Adakah ia mempunyai hidangan kegemaran anda untuk tahun ini?

Pasta TikTok
Apabila bercakap tentang pasta, TikTok telah nampaknya telah menampilkan beberapa pilihan hidangan yang telah menjadi tular secara global.
Secara umumnya, resipi Baked Cheese Feta TikTok bukanlah sesuatu yang begitu lazat dan menyelerakan. Kerana kebanyakannya menyatakan bahawa hidangan tersebut perlu ditambah lebih banyak bahan di dalamnya seperti cendawan, isi ayam dan sebagainya untuk menjadikannya lebih enak.

Selain feta bakar, hidangan pasta lain yang turut popular pada tahun 2021 adalah kerepek pasta.
Nasi Goreng
Untuk Nasi Goreng, carian ini popular dalam kalangan masyarakat di Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan Netherlands. Antara carian berkaitan perkataan ini termasuk ‘nasi goreng melimpah viral’ dan juga ‘resep nasi goreng jawa pinggir jalan’.

Taco Birria
Taco Birria menampilkan tortilla yang diisi dengan daging rebusan yang lembut dan berair. Tortilla tersebut kemudiannya dicelup dalam lapisan nipis lemak yang terapung ke bahagian atas birria. Untuk pengetahuan anda, birria adalah hidangan yang berasal dari Mexico.

Kebiasaannya, birria menggunakan daging yang disaluti dengan campuran cili dan rempah dan kemudian dimasak dan direbus sehingga teksturnya lembut dan halus. Setelah masa, ia kemudiannya dihidangkan di dalam taco dan dipanaskan pula di atas griddle bagi memberikan bahagian luar yang rangup dan rapuh.
Papan Charcuterie
Charcuterie ialah hidangan daging yang diawetkan yang mana telah meraih populariti yang tinggi sejak kebelakangan ini.
Kebiasaannya, ia akan menghimpunkan pelbagai jenis daging yang diawetkan, acar masam, jem manis, keju, buah segar dan digandingkan dengan bir atau wain untuk melengkapkan rasa dan tekstur. Namun, bagi kebanyakan masa, ramai yang menyediakan papan charcuterie berasaskan keju.

Shogayaki
Hidangan ini hadir dengan sos yang mempunyai rasa kicap manis dengan sedikit halia parut di dalamnya.
Dalam bahasa Jepun, halia ialah shoga (生姜) dan perkataan yaki (焼き) bermaksud panggang atau tumis. Di Jepun, jika anda menyebut “shogayaki”, orang akan memikirkan shogayaki babi.

Oat bakar
Oat bakar menjadi trend di platform media sosial pada awal 2021, sebahagiannya kerana hidangannya agak sihat dan mudah dibuat. Resipi ini hanya menggunakan enam bahan utama iaitu oat, telur, pisang, serbuk penaik dan sirap maple. Anda boleh mencuba hidangan viral ini dirumah dan hidangkannya sebagai sarapan pagi atau snek yang manis.

Sup Kentang
Untuk makluman, carian sup kentang ini banyak dilakukan di negara Ireland, Australia, Amerika Syarikat, UK dan juga Kanada. Topik yang menjurus kepada carian ini adalah berkaitan Zucchini dan juga hidangan puri.

Teriyaki Amberjack
Amberjack ialah spesies ikan jack dalam keluarga Carangidae. Ia berasal dari Lautan Pasifik barat laut dari Korea ke Hawaii. Sementara teriyaki pula adalah sos yang mempunyai empat komponen utama iaitu kicap, sake, gula dan halia.
Untuk menyediakannya, ia biasanya akan memerlukan anda untuk merendam ikan, sayur atau tauhu sekurang-kurangnya setengah jam sebelum dimasak.

Tonjiru
Tidak hanya syogayaki dan teriyaki, nampaknya hidangan Jepun telah menjadi carian oleh ramai individu dari seluruh dunia. Antara topik yang merujuk kepada hidangan ini adalah berkaitan FamilyMart, saba misoni dan juga carian mengenai ikan.
Untuk pengetahuan anda, Tonjiru adalah sup babi yang pada asasnya ialah sup miso yang diletakkan di dalamnya daging babi dan sayur-sayuran berakar.

Overnight Oat
Jenis oat ini telah menjadi antara hidangan popular semenjak pandemik ini. Ia. mungkin disebabkan oleh langkah penyediaannya yang mudah selain menawarkan khasiat yang tinggi kepada individu.
Apabila direndam semalaman, kanji yang terdapat dalam oat secara semula jadi terurai dan lebih banyak nutrien dapat diserap. Dalam tempoh perendaman ini, asid yang terdapat dalam oat juga akan diurai semalaman dan ini mengakibatkan penghadaman yang lebih baik. Malah, oleh kerana teksturnya yang likat, ia juga lebih mudah untuk dimakan pada waktu pagi.

Dalgona Squid Game
Jika anda telah menonton siri Squid Game, terdapatnya episod yang menampilkan permainan gula-gula dalgona yang mana ia memerlukan pemain untuk mendapatkan bentuk yang rumit dalam gula-gula tersebut dalam masa yang terhad tanpa memecahkannya.

Jika anda ingin menyediakannya di rumah, anda boleh memasaknya menggunakan gula yang dipanas dan kemudian ditambah dengan sodak penaik. Hidangan dalgona ini mempunyai tekstur yang keras dan mudah pecah, maka anda perlu berhati-hati menyediakannya.