Tidak dinafikan, bagi mendapatkan kulit yang lebih baik untuk tempoh yang lama, amalan pemakaian krim pelindung matahari atau SPF semestinya menjadikan satu kewajipan kerana ia berfungsi yang baik dalam melindungi kulit dari UVB dan UVA.

Selain itu juga, SPF juga bertindak baik dalam memastikan pencegahan kanser kulit termasuk mengurangkan risiko melanoma, serta menghalang kerosakan kolagen dan tisu penghubung kulit yang boleh menyebabkan hilang keanjalan dan peningkatan kedutan.


Apabila bercerita mengenai kelebihan SPF sememangnya tidak akan berhenti pada kesihatan kulit wajah sahaja. Terdapat banyak lagi fungsi SPF yang diperlukan individu termasuklah memberikan hasil solekan yang lebih baik serta melindungi kulit dari kesan negatif produk penjagaan kulit yang lain.

Bercerita mengenai SPF ini, tahukah anda bahawa SPF ini bukanlah sesuatu yang baharu dan sebenarnya ia telah dicipta sejak tahun akhir 1930-an lagi.

Asal Usul Krim Pelindung Matahari Dalam Rutin Penjagaan Kulit

Sejak dari awal abad 3100 SM lagi, masyarakat pada waktu itu telah mula menggunakan produk yang melindungi kulit mereka daripada cahaya matahari. Orang Mesir Purba menggunakan beras, bunga melati dan ekstrak lupin untuk melindungi kulit mereka daripada matahari.

Sementara tamadun purba lain pula menggunakan minyak semula jadi seperti minyak zaitun atau minyak bunga matahari.

Selain mengamalkan penggunaan produk pelindung matahari, masyarakat dahulu juga mempunyai tabiat tersendiri untuk melindungi kulit dari terbakar. Tabiat yang paling biasa dilakukan adalah memperkenalkan cara berpakaian yang unik.

Sebagai contoh, golongan atasan akan memakai topi lebar untuk menutupi semua bahagian kulit serta memakai penutup kepala tambahan yang bersesuaian.

Sejak daripada itu, kaedah penjagaan kulit yang menitikberatkan perlindungan ke atas cahaya matahari telah berkembang dengan pesat. Krim pelindung matahari pertama telah diperkenalkan oleh Franz Greiter pada tahun 1938 dan juga Benjamin Green pada tahun 1944.

Produk Pelindung Matahari Yang Pertama

Pada tahun 1920-an, seorang ahli kimia Australia Selatan bernama H. ​​A Milton Blake mula berekperimen dengan krim pelindung matahari yang tersendiri dan mula menjualnya di bawah nama Hamilton Sun and Skin. Ia merupakan krim pelindung matahari pertama yang ditawarkan kepada umum perlindungan untuk kulit tanpa kompromi.


Kemudian pada tahun 1936 pula, pengasas L’Oreal Eugene Schuller juga membangunkan versinya sendiri. 

Tidak berhenti di situ, Franz Greiter yang juga merupakan seorang pelajar kimia turut hadir dengan krim pelindung matahari. Ideanya bermula apabila beliau mengalami selaran matahari semasa mendaki Gunung Piz Buin di sempadan Switzerland-Austria. Greiter mendapati selaran matahari tersebut menjadikan kulitnya terasa sangat sakit. Sejak itu, beliau mencipta krim yang dipanggil Krim Glasier.


Manakala Benjamin Green pula memperkenalkan krim pelindung matahari kerana sewaktu Perang Dunia II, ramai dalam kalangan askar menghadapi selaran matahari ketika bertempur di kawasan tropika Pasifik.


Daripada situ, beliau menghasilkan Krim Pelindung Matahari Coppertone yang dihasilkan menggunakan bahan yang dipanggil petroleum veterinar merah. Ramuan ini telah diluluskan untuk digunakan semasa perang oleh Persatuan Perubatan Amerika (AMA) dan disertakan di dalam kit pertolongan cemas.

Jumlah SPF Pada Produk Terdahulu Adalah Sangat Terhad

Dahulunya, jumlah SPF yang ditambahkan pada losyen atau krim pelindung matahari adalah sangat rendah iaitu sekitar 2 hingga 4 SPF sahaja. Malah, produk yang mempunyai SPF juga adalah terhad.

Menjelang tahun 1970-an dan 1980-an, krim pelindung matahari menjadi semakin popular. Sementara itu, penyelidik membuat kemajuan dalam memikirkan kesan sinaran UV dan mencipta pelindung matahari khusus yang menampilkan perlindungan peluh dan air.

Pada tahun 1990-an pula, bahan penghalang sinar UVA telah ditambahkan pada pelindung matahari. Dan semburan dan pelindung matahari gel menjadi lebih biasa dan mudah untuk dijumpai.


Kini, SPF juga mula ditampilkan dalam produk harian dan tahap perlindungan dalam pelindung matahari meningkat. Menjelang 2009, hanya 6 peratus pelindung matahari mempunyai tahap SPF di bawah lima dan rata-rata produk kini menawarkan nilai sekitar 20 hingga 50 SPF.

Sumber: NY Times Healthcare UTAH Sunbutteroceans