Kebiasaannya, individu akan mengepak jari (cracking fingers) apabila mereka merasakan jari tangan terasa lenguh dan sakit? Atau terdapat juga segelintir individu yang mempunyai tabiat melipat dan menekan jari setiap kali selepas melakukan sesuatu aktiviti yang menggunakan tangan.

Selalunya, apabila anda mengepak jari, ia akan membuatkan tulang di dalamnya mengeluarkan bunyi ‘pop’ seperti meletus. Untuk pengetahuan anda, bunyi yang anda dengar adalah disebabkan oleh gelembung nitrogen, oksigen dan karbon dioksida yang bergerak dalam cecair yang mengelilingi sendi anda.


Bolehkah Anda ‘Kepak’ Jari?

Apabila tiada kesakitan yang dikaitkan dengan meletus atau memetik jari, ia biasanya tidak berbahaya. Walau bagaimanapun, jika anda mendapati sendi jari anda mengeluarkan bunyi dan ditambah dengan rasa sakit atau bengkak, amat penting untuk anda terus menghubungi pakar atau doktor penjagaan kesihatan anda.

Kajian lain menunjukkan bahawa tabiat kepak jari yang dilakukan secara berulang boleh menyebabkan sedikit kerosakan pada tisu lembut sendi. Ia juga boleh menyebabkan cengkaman lemah dan tangan bengkak yang mana anda akan mendapati jari anda akan kelihatan sedikit besar pada bahagian sendi berbanding bahagian tulang biasa.

Mengapa Tulang Dan Sendi Anda Mengeluarkan Bunyi Pop Apabila Jari Dikepak?

Jari anda boleh mengeluarkan pelbagai bunyi termasuk bunyi seperti meletus, retak dan mengetuk. Selain bunyi ini dikeluarkan di jari, terdapat juga keadaan lain yang turut menghasilkan bunyi yang sama seperti di lutut, buku lali, tulang belakang atau pinggang dan leher.


Untuk bunyi ini juga, terdapat pelbagai sebab yang berbeza mengapa ia mengeluarkan bunyi ‘pop’, ia termasuk:

Gas Keluar Dari Celah Sendi

Para saintis menjelaskan bahawa cecair sinovial yang terdapat dalam sendi bertindak sebagai pelincir.

Cecair mengandungi gas oksigen, nitrogen, dan karbon dioksida. Apabila anda mengepak jari, ia akan meregangkan kapsul sendi. Gas dibebaskan dengan cepat dan kemudiannya membentuk buih.

Jika anda perasan, setelah anda mengepak jari, ia kebiasaannya tidak akan berbunyi dua kali. Hal ini kerana, anda perlu menunggu sehingga gas tersebut kembali ke cecair sinovial.


Pergerakan Sendi, Tendon Dan Ligamen

Apabila sendi bergerak, kedudukan tendon berubah dan bergerak sedikit daripada tempatnya.

Anda mungkin mendengar bunyi seakan apabila tendon kembali ke kedudukan asalnya. Di samping itu, ligamen anda juga mungkin mengetatkan kedudukannya ketika anda menggerakkan sendi. Namun, keadaan ini biasanya berlaku pada lutut atau buku lali dan ia turut mengeluarkan bunyi ‘pop’.

Penggeseran Di Permukaan Kasar

Untuk sendi yang mengalami artritis, ia akan mengeluarkan bunyi yang disebabkan oleh kehilangan rawan licin dan juga terdapatnya permukaan tulang yang kasar.

Sumber: LOC Very Well Health