Tidak kira ke mana sahaja anda kunjungi, pastinya anda akan menjumpai hidangan popular yang dinamakan kari. Ia termasuklah kari ayam, kari daging, kari ikan, dan bermacam-macam lagi.
Untuk pengetahuan anda, terdapat pelbagai jenis kari yang boleh didapati di seluruh dunia yang merangkumi perbezaan dari segi rasa dan warna. Masing-masing mempunyai cara dan kaedah masakan yang tersendiri bergantung kepada budaya hidangan tersebut.
Sebagai contoh, kari di India mempunyai rasa yang pedas dan juga berkrim dan turut dikenali sebagai Murgh Makhani dalam bahasa Hindi. Manakala kari di Bangladesh pula menampilkan campuran jintan hitam dan selaput buah pala sekaligus menghasilkan rasa rempah lebih kuat.
Oleh itu, untuk melihat lebih lanjut mengenai jenis kari, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda perbezaan kari mengikut negara.
Kari Malaysia
Seperti yang anda tahu, kari mempunyai pelbagai variasi. Ada jenis kari yang dilengkapi dengan campuran rempah, herba segar dan cili yang berbeza.
Antara pengamal kari yang terawal, kari di Malaysia dipengaruhi oleh kepelbagaian budaya. Ia mempunyai warna jingga kekuningan dan menggunakan pes cili dan serbuk kari yang kaya dengan kunyit, santan, bawang merah, bawang putih, halia dan banyak lagi.
Bergantung kepada citarasa, ada individu yang menggemari kari seakan gulai dan ada juga jenis individu yang meminati kari yang pekat dan pedas.
Kari Thailand
Sementara untuk kari Thai pula, ia hadir dalam variasi warna yang berbeza. Sebagai contoh, Kaeng kari ialah kari kuning yang secara tradisinya dihidangkan dengan hidangan timun.
Sementara kaeng khiao wan pula ialah kari hijau yang biasanya lebih pedas kari ini dimasak menggunakan cili hijaunya. Tidak ketinggalan, kari Thai juga mempunyai kari merah yang dipanggil Kaeng phet yang mana ia menggunakan cili merah.
Kari Jepun
Berbeza dan kari Malaysia dan Thai, kari Jepun biasanya manis dan bukannya pedas selain mempunyai tekstur kari yang kelihatan berkrim dan pekat.
Bukan itu sahaja, kari Jepun juga cenderung diletakkan sayuran asas yang digunakan seperti bawang, lobak merah dan kentang. Pelengkap rasa hidangan kari ini adalah Fukujinzuke. Ia merupakan campuran lobak Jepun (daikon), akar teratai, timun dan terung yang diawet dalam kicap dan mirin.
Manakala untuk ayam atau daging untuk kari Jepun, ia akan dimasak sama ada versi karaage ataupun tonkatsu.
Kari Barat
Berlainan pula dengan kari di Asia, variasi kari di negara Barat lebih ringkas dengan mencampurkan serbuk kari bersama beberapa perasa bersesuaian dengan cita rasa mereka.
Kari barat mempunyai rasa yang unik kerana gabungan rempah manis dan berperisa yang membentuk aromanya. Selain itu, ia juga mempunyai warna yang lebih kuning keemasan seakan kunyit.
Kari India
Hidangan kari India biasanya dilengkapi dengan asas tomato dan bawang dan kemudiannya ditambah dengan rempah seperti jintan manis, ketumbar, serbuk cili, kunyit, dan juga garam masala.
Jika anda pernah mencuba kari Doopiaza, ia mempunyai rasa bawang berganda sekaligus memberikan rasa pedas sederhana. Sementara, Makhani pula adalah jenis kari yang lebih berlemak. Versi Makhani juga dikenali sebagai ayam mentega yang mana kuahnya disediakan menggunakan asas mentega, krim dan campuran rempah ratus.