Adakah anda mempunyai warna kegemaran untuk kebanyakan barangan peribadi anda?
Untuk pengalaman sendiri, saya amat menggemari warna putih yang mana saya akan menggunakannya untuk kebanyakan barangan peribadi. Sebagai contoh, untuk tudung, saya mempunyai variasi warna putih. Ada putih yang bercorak, ada putih yang kosong dan banyak lagi.
Bagi saya, warna putih memberikan aura yang menarik untuk diri. Ia bukan sahaja meningkatkan keyakinan sewaktu menggayakannya, malah ia turut memberikan impak yang positif kepada diri.

Mengikut teori psikologi warna yang dikongsikan oleh Very Well Mind, memakai warna tertentu sebenarnya boleh meningkatkan suasana hati anda. Selain itu, warna yang tertentu juga turut dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah, peningkatan metabolisma dan keletihan mata.
Sebagai contoh, terdapat segelintir individu yang berpendapat bahawa warna merah biasanya dilihat sebagai “berani” dan “berkuasa”. Tetapi hakikatnya, ia tidak sesuai dan terpakai kepada semua orang. Dalam erti kata lain, psikologi warna sebenarnya benar-benar unik untuk anda.
Bagaimana Untuk Mengetahui Warna Mana Yang Memberi Keyakinan Kepada Anda?
Seperti yang dinyatakan di atas, warna yang digemari penulis adalah warna putih. Pemilihan warna ini ditentukan atas faktor keselesaan, kecenderungan tarikan mata ke atas sesuatu barangan serta ia juga membangkitkan perasaan tertentu sama ada menyeronokkan, tenang dan sebagainya.
Contoh lain, untuk penulis sendiri, warna gelap dan berani adalah palet warna yang paling kurang diminati. Ia berkemungkinan disebabkan warna tersebut kelihatan seperti kusam dan kadangkala terlalu cerah sehingga merasakan ia memberi penekanan kepada diri.

Semestinya warna akan mempunyai makna yang berbeza kepada orang berdasarkan kehidupan dan pengalaman mereka sendiri.
Jadinya, untuk membantu anda memilih warna yang bersesuaian dan mampu meningkatkan keyakinan, Tajria hadir dengan tiga tips asas yang boleh anda praktikkan:
- Analisa pandangan orang lain ke atas warna yang telah anda pilih dan gayakan. Penyelidikan menunjukkan bahawa reaksi atau tindak balas terhadap akan mempengaruhi keyakinan anda.
- Ketahui gaya anda dan warna yang anda nampak terbaik, dan potongan yang memancarkan keperibadian anda. Menerusinya, ia akan membuatkan anda tenang dan tidak gentar tidak kira apa jua keadaan.
- Pilih warna yang membuatkan anda terasa positif dan gembira. Kebiasaannya individu telah menghabiskan banyak masa untuk bersiap, jadinya memakai sesuatu yang menaikkan suasana hati adalah penting supaya ia berbaloi dengan usaha yang diberikan.