Tugasan mengecat bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan seuatu barangan atau kawasan yang tidak sempurna keadaannya.
Sebagai contoh, logam yang berkarat. Ia tampak mudah untuk menghilangkannya dengan hanya menampal atau mengecat warna yang baharu, dan terus membuatkan logam kelihatan sempurna.

Namun, sebenarnya ia memerlukan teknik yang betul. Adalah lebih baik jika anda mengikis dan membuang semua kemasan yang tertanggal dan bersihkannya dengan rapi.
Khusus untuk kepingan karat yang mengelupas, sekiranya anda menambah cat diatasnya, ia tidak akan bertahan lama dan menyebabkan cat melepuh dan mengelupas. Oleh itu, anda perlu menggunakan primer khas yang menukar karat menjadi permukaan yang boleh dicat.
Selain itu, masa yang diambil untuk logam yang baru dicat kelihatan sempurna ada sekitar 2 hingga 3 hari. Jadi, tunggu permukaan kering dan cuba bersihkan sedikit kotoran berlebihan sekali setiap 6 jam jika anda benar-benar mahukan ia kelihatan berkilau.
Bolehkah Karat Muncul Pada Permukaan Yang Baru Dicat?
Karat adalah keadaan yang mana permukaan logam mula bertukar warna dari kelabu menjadi coklat kemerah-merahan yang sebenarnya tidak boleh ditutupi menggunakan cat.

Makanya, anda memerlukan primer yang boleh menukar karat menjadikan karat hitam dan mengelakkan warna cat menjadi rosak.
Untuk pengetahuan anda juga, karat berlaku akibat pengoksidaan yang mana disebabkan terdapatnya oksigen dan air pada permukaan besi. Jadi, untuk mengelakkan oksigen dan air terkena pada permukaan besi, anda boleh menyalutkan primer seperti tannin sebelum mengecat.
Cat Yang Sesuai Digunakan Pada Permukaan Logam
Produk yang sesuai untuk digunakan pada pagar besi yang berkarat adalah cat jenis alkyd berkilat tinggi. Hal ini kerana, cat alkyd mengandungi bahan resin yang kuat dan sangat tahan melawan kerosakan.
Oleh itu, ramai individu yang menggunakannya di kawasan yang paling kerap digunakan serta memerlukan ketahanan yang tinggi seperti pagar dan juga kelengkapan dalam bilik mandi.

Selain itu, cat alkyd juga mempunyai kilauan tambahan yang anda perlukan. Oleh itu, ia sangat baik digunakan untuk menutup sebarang cela pada permukaan.
Akhir sekali, pilih warna yang sesuai dengan landskap rumah anda. Untuk langkah ini, lebih baik menggunakan roller untuk mengecat berbanding jenis semburan, kerana roller akan memberikan lapisan yang lebih tebal.