Lina Rosli Diterbitkan 20 December 2021

MBO Cinemas Bakal Tiba Di Malaysia Di Bawah Pengurusan Baharu

MBO Cinemas telah mengumumkan akan menyertai semula industri pawagam tempatan di bawah pengurusan baharu tidak lama lagi.

Apa yang menarik mengenai penawaran semula servis oleh MBO Cinemas, pelanggan selepas ini boleh menikmati pengalaman sinematik yang sihat dengan rekaan ruang tontonan yang istimewa dan konsep pawagam yang unik.


Menurut MBO juga, rangkaian pawagam mereka akan dibuka semula  secara beransur-ansur kepada orang ramai dan MBO Cinemas di Atria Shopping Gallery, Damansara akan menjadi yang pertama memulakan operasi pawagam pada 29 Disember 2021.

Selaras dengan pembukaan semula rasminya juga, MBO Cinemas di Atria Shopping Gallery akan menganjurkan tayangan filem percuma untuk orang ramai dari 24 hingga 26 Disember 2021. Butiran lanjut tentang tayangan filem percuma akan dikeluarkan di Facebook dan Instagram MBO.


Untuk pengetahuan anda, MBO Cinemas di Atria Shopping Gallery menawarkan 4 skrin standard di atas 4 skrin khas yang dimuatkan di dalam dewan MBO kecil dan besar serta Samsung ONYX. Di dalamnya juga menampilkan Cafecito iaitu gerai konsesi bertemakan kedai kopi unik yang menyajikan minuman mewah dan snek ringan yang juga akan dilancarkan semula tidak lama lagi.


Seterusnya, beberapa cawangan lain yang dalam perancangan untuk memulakan semula operasi termasuklah Elements Mall Melaka, Taiping Sentral Mall, Teluk Intan, Brem Mall, Space U8 dan U-Mall Skudai.

Akhir sekali, pihak pengurusan juga kini sedang berbincang dengan pemaju hartanah tempatan terkemuka untuk membuka cawangan baharu pada 2022.