Carian
Tahukah Anda 3 Titik Pada Logo Domino’s Mewakili 3 Buah Kedai Terawal Mereka?
December 21, 2021 Lina Rosli

Domino’s ialah jenama piza yang terkenal dan turut mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan individu di Malaysia. Selain hadir dengan penawaran piza, jenama Domino’s juga hadir dengan variasi pilihan makanan lain termasuk ayam, snek ringan, roti, pasta dan banyak lagi.


Selain hadir dengan variasi pilihan makanan, Domino’s juga cukup dikenali sebagai rangkaian kedai makanan segera yang menawarkan perkhidmatan penyediaan dan penghantaran makanan yang pantas. Jadinya, ia menjadi pilihan kebanyakan individu yang tidak mempunyai cukup masa untuk menyediakan makanan berat.


Apabila bercerita mengenai Domino’s lagi, tahukah anda makna di sebalik logo domino dengan tiga titik?

Untuk pengetahuan anda, logo Domino’s adalah simbol utama jenama ini yang membantu orang ramai mengenali mereka di seluruh dunia. Jadinya, bagi mengenali lebih lanjut mengenai logo ini dan reka bentuknya, mari kita lihat kembali sejarah reka bentuk logo Domino’s.

Dari DomiNick Kepada Domino’s

Ramai individu yang menyangka logo domino yang dipilih adalah berkaitan dengan nama francais iaitu Domino. Namun sebenarnya, restoran piza tersebut mengambil nama kedai asal yang dimiliki oleh Dominick DiVarti iaitu DomiNick’s.

Restoran piza itu diambil-alih dan dibeli oleh dua beradik yang bernama Tom Monaghan dan James Monaghan pada tahun 1960 pada harga $500. Menjelang tahun 1965, Tom Monaghan mempunyai tiga kedai piza pada tahun 1965 selepas membeli dua kedai tambahan.

Untuk mengekalkan penjenamaan yang sama untuk ketiga-tiga kedai, Tom mengatakan untuk menggunakan nama DomiNick’s seperti restoran piza pertama mereka. Namun, Dominick Divarti iaitu pemilik kedai pertama tidak membenarkannya. Oleh sebab itu, mereka menggunakan nama Domino’s.


Idea untuk menamakan restoran Domino’s datang dari seorang pekerja lelaki yang menghantar pizza, Jim Kennedy. Pada tahun yang sama iaitu 1965, nama itu ditukar daripada DomiNick’s kepada Domino’s Pizza, dan di sinilah semuanya bermula.

Fakta Menarik: 3 Titik Pada Logo Domino’s Mewakili 3 Buah Kedai Terawal Mereka

Menurut perkongsian Instagram Domino’s Malaysia, tiga titik pada logo Domino’s membawa maksud 3 buah kedai terawal yang dibuka oleh Tom Monaghan dan James Monaghan.

Titik tersebut diasingkan di dalam petak yang berlainan yang mana satu titik pertama melambangkan kedai pertama mereka di Michigan iaitu DomiNick’s. Sementara dua titik di dalam petak merah pula merupakan kedai kedua dan ketiga yang dibeli oleh Tom sebelum menukar namanya kepada Domino’s.


Logo pertama Domino’s telah direka pada tahun 1965. Ia adalah lambang berbentuk segi empat sama yang menampilkan dua keping kotak piza berwarna merah dengan tiga titik diatasnya.

Pada tahun 1975 pula, mereka menampilkan logo yang kelihatan lebih berani. Reka bentuk yang diubah suai mempunyai sudut yang lebih tajam dan warna yang lebih terang. Selain itu, kotak disusun dalam keadaan menegak dan menampilkan nama Domino’s Pizza yang diletakkan diatas warna latar biru.

Bergerak ke tahun 1996, logo itu mendapat semula kedudukan asalnya yang disusun senget sama seperti logo mereka yang pertama tetapi menggunakan warna yang lebih jitu.


Logo Domino yang kita lihat hari ini bermula pada tahun 2013. Pada masa itu, restoran ikonik itu telah membangunkan menu yang sangat luas, jadi ia telah memutuskan untuk menyingkirkan perkataan “pizza” pada lambang itu.

Reka bentuk moden menampilkan perkataan “Domino’s” yang ditulis dalam fon besar dan sekeping domino biru dan merah. Lambang itu memancarkan rasa kestabilan dan profesionalisma.

Sumber: The Balance SMB Logaster Ink Bot Design

Komen