Carian
Tahukah Anda, Pencemaran Bunyi Atau Hingar Trafik Boleh Meningkatkan Risiko Demensia?
December 22, 2021 Lina Rosli

Menurut WHO, terdapat beberapa bentuk demensia telah dialami oleh masyarakat dari seluruh dunia. Penyakit Alzheimer adalah bentuk yang paling biasa dan boleh menyumbang kepada 60 hingga 70% kes. Bentuk utama lain termasuk demensia vaskular, demensia dengan badan Lewy (Lewy bodies) dan sekumpulan penyakit yang menyumbang kepada demensia frontotemporal.

Malah, pakar turut menjangkakan jumlah individu yang mengalami demensia juga akan melebihi 150 juta menjelang 2050.

Faktor risiko yang boleh diubah suai untuk demensia

Oleh sebab itu, adalah penting untuk orang ramai mengenal pasti faktor risiko yang berpotensi boleh diubah suai untuk demensia bagi mencegah dan menguruskan krisis kesihatan global yang semakin meningkat ini.

Kini, kajian Denmark baharu yang muncul dalam jurnal The BMJ menyatakan bahawa pendedahan kepada hingar lalu lintas boleh mengakibatkan risiko yang lebih tinggi untuk mengalami demensia.

Banyak kajian telah secara konsisten mengaitkan pencemaran bunyi dengan pelbagai keadaan kesihatan seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung koronari. 


Menyedari keperluan untuk ujian yang lebih terkawal, para penyelidik menyelidik potensi hubungan gaya hidup individu untuk jangka panjang kepada bunyi pengangkutan dan risiko kejadian demensia.

Bunyi bising pengangkutan ialah pencemaran alam sekitar kedua terburuk untuk kesihatan awam di Malaysia, selepas pencemaran udara. Pada tahun 2017 sahaja, Jabatan Alam Sekitar menerima 132 aduan berhubung isu pencemaran bunyi menunjukkan tahap kesedaran masyarakat mengenai permasalahan kebisingan yang semakin meningkat.

Pencemaran Bunyi Mengakibat Kesukaran Tidur Dan Gangguan Emosi

Sekiranya anda terdedah kepada tahap hingar ini pada waktu malam amat membimbangkan, kerana tidur adalah tempoh kritikal untuk pemulihan mental dan kognitif.

Kajian eksperimen mencadangkan bahawa tidur yang diganggu bunyi dikaitkan dengan peningkatan tekanan oksidatif, perubahan dalam sistem imun dan peningkatan keradangan sistemik. Pakar menganggap semua keadaan ini sebagai peristiwa awal dalam permulaan demensia dan penyakit Alzheimer.


Tekanan emosi dan gangguan psikologi juga boleh berlaku kepada individu yang mengalami gangguan kebisingan berterusan antaranya hilang kawalan serta gagal berfikir dengan baik seterusnya membawa kemerosotan prestasi.

Bunyi keterlaluan turut mengganggu waktu rehat dan tidur seseorang yang meningkatkan ketegangan saraf dan otot, kegelisahan, mudah tersinggung, cepat marah dan kemurungan yang meningkatkan potensi menghidap penyakit berkaitan kardiovaskular serta darah tinggi.

Kepentingan Memastikan Ruang Yang Sihat Dan Terhindar Dari Kebisingan

Keutamaan harus difokuskan kepada penyediaan ruang yang kurang bising sewaktu tidur lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar berbanding mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar.

Cara lain yang boleh anda lakukan juga adalah, mendapatkan langsir tebal kerana ia membantu melembapkan bunyi. Lebih tebal dan berat langsir, lebih berkesan ia mengurangkan kekuatan bunyi. Anda juga boleh membeli langsir penyerap hingar khas yang direka untuk membantu membatalkan bunyi yang menjengkelkan. 


Akhir sekali, ketatkan ruang tingkap yang longgar atau mempunyai lubang masuk untuk bunyi. Terdapat beberapa pilihan DIY yang boleh anda pertimbangkan. Menutup tingkap sepenuhnya mungkin adalh satu perkara yang sukar. Jadinya, anda boleh menggunakan dan memotong beberapa helaian buih akustik untuk menutup tingkap pada waktu malam dan kemudian menanggalkan bila-bila masa pada waktu siang.

Sumber WHO MNT Sinar Harian

Komen