Sudah hampir seminggu sebahagian Malaysia telah dilanda banjir yang mana menjejaskan lebih 70,000 orang sehingga kini.

Pelbagai bantuan dan juga sokongan telah diberikan oleh kebanyakan individu dan NGO dalam menyelamatkan mangsa. Ia melibatkan pemberian barangan keperluan asas dan juga pertolongan pembersihan rumah.

Bukan itu sahaja, bantuan menyelematkan dan memindahkan haiwan perliharaan turut dilakukan. Tidak seperti manusia, haiwan, terutamanya kucing dan anjing hanya boleh mengiau dan menyalak untuk meminta pertolongan.

Walaupun dalam keadaan yang sukar, syukur ramai yang masih berbaik hati berusaha untuk menyelamatkan rakan-rakan berbulu ini dengan harapan dapat menyatukan semula mereka dengan ibu bapa peliharaan mereka.


Memandangkan keadaan semasa yang masih tidak menentu, Royal Canin Malaysia ingin berkongsi maklumat yang betul dan berguna tentang penjagaan haiwan peliharaan dengan pemilik, pencinta dan penyelamat haiwan kesayangan untuk membantu mencipta dunia yang lebih baik untuk haiwan peliharaan.

Perancangan Sebelum Banjir Tiba

Berikut adalah senarai perkara-perkara penting yang boleh dan tidak boleh dilakukan mengenai penjagaan haiwan peliharaan terutamanya dalam keadaan kecemasan seperti banjir.

Memakaikan Kolar Pada Setiap Haiwan Perliharaan

Tidak dinafikan kolar dengan butiran pemilik haiwan peliharaan dan haiwan peliharaan adalah perkara biasa yang perlu dimiliki.

Butiran sedemikian akan membantu untuk mengesan sama ada haiwan peliharaan atau pemilik jika kecemasan berlaku.


Membungkus Bekalan Makanan Dan Ubat-Ubatan Untuk Kucing Dan Anjing Anda

Pastikan anda menyediakan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang mencukupi untuk haiwan-haiwan perliharaan anda. Boleh juga untuk anda membungkus makanan lebih sebagai bekalan tambahan untuk haiwan lain.

Pastikan Haiwan Peliharaan Anda Telah Divaksin.

Hantar haiwan perliharaan anda ke veterinar untuk mendapatkan vaksinasi terhadap Leptospirosis, penyakit bakteria berbahaya yang boleh ditemui di dalam dan di sekeliling air termasuk air banjir.

Selain haiwan, penyakit Leptospirosis turut memberi kesan kepada manusia yang boleh menyebabkan maut jika diabaikan.

Kekal Peka Dengan Arahan Dan Status Terkini Banjir

Dengan kehadiran pelbagai media sosial dan platform pemesejan, lebih mudah bagi pemilik haiwan peliharaan untuk sentiasa mengetahui situasi semasa bagi membuat persediaan untuk tindakan seterusnya.

Kumpul Dokumen Penting Dalam Satu Beg

Letakkan dokumen penting seperti rekod vaksinasi dan butiran doktor haiwan dalam beg bertutup. Sertakan juga foto semasa haiwan kesayangan anda sekiranya ia hilang dalam keadaan huru-hara.

Perancangan Semasa Banjir Tiba

Jika anda terpaksa mengosongkan rumah anda kerana banjir, ada kemungkinan anda perlu meninggalkan haiwan peliharaan anda.

  • Jika ini berlaku, letakkan haiwan peliharaan anda pada aras yang lebih tinggi yang berkemungkinan kekal kering dengan banyak makanan, air dan bekas sampah.
  • Letakkan notis pada pintu atau tingkap atau kawasan tinggi untuk memberitahu pasukan penyelemat kecemasan bahawa terdapat haiwan peliharaan di dalam.
  • Dalam apa jua keadaan, maklumkan kepada saudara atau rakan anda bahawa anda akan meninggalkan haiwan peliharaan anda di dalam rumah. Mereka mungkin dapat menyelamatkan haiwan peliharaan anda apabila mereka mempunyai peluang.
  • Jangan tinggalkan haiwan peliharaan anda di dalam sangkar haiwan tanpa pengawasan yang boleh memerangkap haiwan peliharaan, menyebabkan mereka tidak dapat menyelamatkan diri.

Sekiranya anda ingin melihat persekitaran untuk melihat apa yang berlaku, adalah tidak sesuai untuk membawa haiwan peliharaan anda bersama. Biarkan mereka tinggal di rumah yang lebih selamat.

Selain itu, elakkan memberi mereka air banjir untuk diminum kerana ia mungkin tercemar. Ia boleh membahayakan mereka dan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit.

Jangan beranggapan haiwan peliharaan anda, terutamanya kucing dan anjing boleh berenang. Letakkannya di tempat yang lebih selamat jika perlu.


Perancangan Selepas Tempoh Kecemasan

Ingat bahawa penting untuk anda membawa haiwan peliharaan anda ke doktor haiwan untuk pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh dan mendapatkan rawatan yang diperlukan.

Mereka mungkin tercedera secara fizikal dan dalaman semasa banjir melanda tanpa disedari oleh sesiapa. Sama seperti manusia, haiwan peliharaan boleh trauma dan tertekan juga apabila perubahan mendadak berlaku.

Pantau tingkah laku mereka dengan teliti. Jika anda rasa ada sesuatu yang tidak kena, cepat bawa mereka ke doktor haiwan untuk mendapatkan nasihat profesional.