Bagi individu yang tidak pernah penggunakan jam tangan pintar dan ini adalah pertama kali penulis mencubanya, semestinya ia adalah pengalaman yang baru dan unik.

Hal ini kerana, jika dibandingkan jam tangan biasa, ia hanya menunjukkan waktu semasa sahaja, tetapi dengan kehadiran teknologi serba canggih, jam tangan pintar menawarkan pelbagai ciri-ciri yang berguna seperti pemantauan kadar oksigen dalam darah, jumlah pergerakan harian dan bermacam-macam lagi.


Bagi anda yang tertanya-tanya jam tangan pintar apakah yang penulis gunakan, tentulah tidak lain dan tidak bukan Samsung Galaxy Watch4. Ia merupakan jam tangan pintar terbaru daripada Samsung yang menggunakan sistem operasi WearOS terbaru selain menampilkan rekaan yang lebih tahan lasak.

Untuk mengetahui pengalaman penggunaan jam tangan pintar terbaru ini, jom ikuti ulasan untuk model Samsung Gaalxy Watch4. Penulis ingin berkongsi serba lengkap mengenai spesifikasi peranti dan menjawab persoalan adakah ia sesuai digunakan wanita?


Saiznya Agak Besar Untuk Wanita Dengan Pergelangan Tangan Yang Kecil

Pada percubaan saya selama satu bulan, antara kekurangan yang mungkin sangat jelas untuk para wanita adalah saiz dan rekaan jam yang boleh dikatakan besar jika dipakai di tangan.

Untuk pengetahuan anda, Samsung Galaxy Watch4 ini ditawarkan dalam saiz 40mm dengan skrin 1.19-inci dan 44mm dengan skrin 1.36-inci. Jadinya, untuk ukuran pergelangan tangan penulis yang agak kecil, iaitu sekitar 14cm, maka ia adalah sedikit tidak selesa dan janggal ketika menggunakannya.


Dari segi rekaan, Samsung Galaxy mempunyai rekaan yang minimalis. Sesuai untuk anda yang menggemari gaya jam tangan harian yang ringkas. Untuk tali jam pula, ia menggunakan tali jam silikon yang memberikan keselasaan jangka panjang lebih-lebih lagi jika anda seorang yang kuat berpeluh.

Usah risau, pilihan warna yang ditawarkan juga adalah agak menari iaitu warna Black, Pink Gold, Silver dan Green.

Penampilan Skrin Bulat Yang Memudahkan Pengurusan Aplikasi

Tidak seperti Samsung Galaxy Watch4 Classic yang mempunyai bezel berputar yang bergerigi, Samsung Galaxy Watch4 ini hanya hadir dengan dua butang pada bahagian tepi untuk memilih dan menggunakan aplikasi serta menetapkan tetapan yang ingin diubah.

Bukan itu sahaja, Samsung Galaxy Watch4 juga turut dilengkapi dengan skrin kaca Gorilla Glass DX, sudah semestinya ia lebih tahan lasak dan tidak mudah calar ketika melakukan aktiviti lasak.


Disebabkan ia hadir dengan saiz yang besar, maka penggunaan aplikasi pada peranti adalah tidak mendatangkan kesukaran yang mana penulis boleh menggunakan peta terus pada jam tangan pintar dengan mudah.

Malah, arahan dan juga teks yang dipaparkan pada skrin turut boleh dibaca dengan jelas tanpa mencetuskan ketidakselesaan pada mata. Berikut adalah beberapa gambar penggunaan aplikasi Google Maps pada Samsung Galaxy Watch4.



Untuk pengetahuan anda, disebabkan ia menggunakan WearOS, maka anda boleh melakukan beberapa tugasan terus pada jam tangan pintar anda.

Bagaimana untuk melakukannya? Anda boleh mengakses aplikasi dengan hanya menggunakan dan mengaktifkan aplikasi seperti Google Maps pada telefon pintar anda, dan seterusnya anda akan menerima dan menyemak arahan perjalanan terus pada skrin Samsung Galaxy Watch4.

Pembantu Yang Bijak Ketika Beriadah Dan Melakukan Aktiviti Harian

Seterusnya, apabila bercakap mengenai jam tangan ‘pintar’, pastinya anda akan mencari-cari apakah kepintaran yang akan dibawakan oleh Samsung Galaxy Watch4, bukan?

Secara umumnya, penulis amat berpuas hati dengan ciri penjejakan kesihatan yang dibawakan oleh Samsung Galaxy Watch4 yang mana model dilengkapi sensor pengimbas nadi, oksigen dalam darah, tekanan darah dan juga ciri Body Composition.


Apa yang menarik mengenai ciri Body Composition adalah Samsung dilihat menggunakan sensor BioActive Samsung yang boleh mengesan BMI, tahap lemak, tahap air dan otot pada tubuh secara automatik. Jadi, anda boleh mengetahui bahagian manakah atau aktiviti apakah yang perlu anda fokuskan berdasarkan data yang dijana dari Body Composition.

Di samping itu, Samsung Galaxy Watch4 turut hadir dengan penjejakan tekanan. Pada pendapat penulis, ia merupakan fungsi yang sangat berguna untuk tempoh masa ini bagi memastikan kesejahteraan individu sepanjang tempoh bekerja dan berada dirumah.


Ketika anda menggunakan Samsung Galaxy Watch4 juga, anda tidak perlu risau akan data dan tetapan yang telah anda simpan pada telefon pintar anda kerana Samsung Galaxy Watch4 mampu mengingati kesemua tetapan pada telefon dan dipindahkan ke jam seperti jam penggera. Menarik bukan?

Cuma sedikit kekurangan sambungan Samsung Galaxy Watch4 dengan telefon pintar anda adalah, ia tidak boleh digunakan bersama peranti iOS yang mana isu ini berkaitan dengan Wear OS baharu.

Melihat halaman spesifikasi untuk Galaxy Watch4, pengaktifan peranti hanya tersedia selepas menyambungkannya ke telefon pintar yang menyokong Perkhidmatan Mudah Alih Google(GMS). Jadinya, bagi anda yang tertarik dengan Samsung Galaxy Watch4 tetapi menggunakan peranti iOS, anda perlu menunggu sokongan ini dibuka secara umum.


Pengalaman Memainkan Muzik Pada Jam Tangan Pintar Samsung Galaxy Watch4

Benar, ia bukanlah peranti yang sesuai untuk anda menguji pengalaman memainkan muzik. Namun, ia cukup berguna untuk anda mengubah dan menukar lagu yang sedang anda mainkan pada peranti pintar dengan hanya menekan butang ‘Next’ pada skrin Samsung Galaxy Watch4.


Mengenai kelantangan audio pula, pembesar suara yang terbina pada Samsung Galaxy Watch4 tidak mengeluarkan paras audio yang tinggi dan kuat walaupun anda meletakkannya pada tetapan paling tinggi. Namun, ia masih cukup baik jika anda sekadar menginginkan bunyi notifikasi biasa saat sedang melakukan aktiviti.

Adakah Ia Mempunyai Bateri Yang Tahan Lama?

Untuk penggunaan harian yang mana tidak menggunakan aplikasi secara berlebihan dan sekadar melihat waktu dan notifikasi, tempoh ketahanan bateri untuk Samsung Galaxy Watch4 ini adalah sekitar 3 hingga 4 hari. Sementara untuk penggunaan sederhana berat, ia boleh bertahan sekitar 2 hari.


Pengalaman pengecasan pula adalah agak perlahan yang mana ia memerlukan sekitar 2 jam untuk mengecas penuh dari bateri 0%. Apa yang agak mengecewakan juga adalah penulis perlu mengecas peranti menggunakan pengecas nirwayar yang disediakan dan tidak boleh menggunakan pilihan pengecasan Qi yang digunakan untuk mengecas telefon pintar penulis.


Jadi, adakah jam tangan Samsung Galaxy Watch4 ini sesuai digunakan oleh wanita?

Jawapannya ya. Jika dilihat dari sudut penawaran fungsi pintar dan juga reka bentuk jam, ia tidak mempunyai sebarang masalah dan kekurangan. Namun, ia bergantung kepada keperluan peribadi individu yang mana anda perlu mengambil kira kapasiti penggunaan, lokasi penggunaan, gaya harian dan juga tabiat penggunaan.

Jika anda memerlukan jam dengan penawaran fungsi yang lebih canggih, maka anda perlu melihat spesikasi terperinci untuk Samsung Galaxy Watch4. Adakah ia menawarkan fungsi yang anda cari? Namun, jika anda sedang mencari dan menginginkan telefon pintar dengan gaya yang lebih feminin, maka adakah rekaan bentuk Samsung Galaxy Watch4 ini menepati kriteria anda.


Bagi yang berminat, mulai sekarang hingga 2 Januari 2022, Samsung Malaysia Electronics menawarkan berkas istimewa sempena Season’s Greetings yang mana ia menawarkan Pek Eko pada harga yang menakjubkan. Terdapat 4 pilihan pek iaitu:

  • Eco Pack 8 yang menawarkan Samsung Galaxy Watch4 Classic 46mm dan Galaxy Buds2 pada harga RM1599
  • Eco Pack 9 yang menawarkan Samsung Galaxy Watch4 Classic 42mm dan Galaxy Buds2 pada harga RM1499
  • Eco Pack 10 yang menawarkan Samsung Galaxy Watch4 44mm dan Galaxy Buds2 pada harga RM1299
  • Eco Pack 11 yang menawarkan Samsung Galaxy Watch4 40mm dan Galaxy Buds2 pada harga RM1199