Sepanjang tahun 2021, terdapat pelbagai perkataan baru yang telah anda dengari dan pelajari tidak kira melalui pembacaan akhbar, mahupun penerokaan di laman maya ataupun perbincangan secara lisan.
Untuk mengetahui lebih lanjut, berikut adalah 7 perkataan yang sohor kini yang dikeluarkan oleh Bloomberg yang juga sering membuatkan ramai keliru akan cara sebutan yang betul.
Omicron
Cara sebutan yang betul untuk perkataan ini adalah o-mi-kron.
Lewat tahun 2021 ini, muncul satu lagi varian Covid-19 baharu yang kini sudah mula didapati di Malaysia.
Menurut CDC, varian Omicron berkemungkinan akan merebak lebih mudah berbanding virus asal SARS-CoV-2 dan sejauh mana mudah Omicron merebak berbanding Delta masih tidak diketahui. Id dijangkakan, jika sesiapa yang mempunyai jangkitan Omicron boleh menyebarkan virus itu kepada orang lain, walaupun mereka telah divaksin atau tidak mempunyai simptom.

Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk mengekalkan norma baharu yang telah dipraktikkan selama ini yang memerlukan anda untuk kekal menjaga jarak, kerap mencuci tangan dan memakai pelitup muka sepanjang berada di luar.
Cheugy
Cara sebutan yang betul untuk perkataan ini adalah Choo-gee.
Perkataan ini merujuk kepada orang yang mencuba sedaya upaya untuk menjadi trendy dan biasanya sering diguna-pakai untuk menerangkan orang yang ketinggalan zaman.
Tetapi istilah ini tidaknbanyak digunakan di Malaysia oleh masyarakat tempatan selain ia kebiasaannya popular dalam kalangan penduduk di Amerika Syarikat dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantara utama.

Chipotle
Cara sebutan yang betul untuk perkataan ini adalah chih-poht-lay.
Satu lagi perkataan yang popular di Amerika kerana ia merupakan sebuah rangkaian makanan segera Amerika yang turut tersenarai dalam 10 makanan yang sohor kini di Google Trends 2021.

Dalgona
Cara sebutan yang betul untuk perkataan ini adalah tal-goh-nah.
Makanan Korea ini telahpun popular semenjak tahun 2020 lagi yang mana pada ketika itu ia menjadi minuman yang paling disediakan ramai tidak kira di Malaysia mahupun negara luar.
Namun, kini ia kembali menjadi bualan orang ramai setelah kehadiran filem Squid Game di Netflix. Untuk pengetahuan anda, dalgona merupakan hidangan yang menggunakan gula yang dicairkan dan kemudiannya ditambah dengan sedikit soda penaik.

Dogecoin
Cara sebutan yang betul untuk perkataan ini adalah dohj-coin.
Bagi anda yang mengikuti perkembangan dunia kriptowang, pastinya anda pernah mendengar akan perkataan Dogecoin ini. Untuk pengetahuan anda, mata wang kripto ini merupakan koin troll yang digunakan sewaktu populariti kriptowang mula memuncak.

Koin ini dipopularkan oleh Elon Musk yang mana beliau menggunakannya sebagai bahan jenaka. Selain itu, Elon Musk turut menyatakan yang mana beliau menerima Dogecoin ini untuk pembelian Tesla dan telah menyebabkan nilainya meningkat secara mendadak.
Ethereum
Cara sebutan yang betul untuk perkataan ini adalah ih-thee-ree-um.
Ia merupakan satu lagi mata wang kripto yang meroket nilainya pada tahun 2021 disebabkan oleh pengenalan kewangan desentralisasi. Bagi yang tidak mengetahui, pengasas Ethereum ini dinamakan Vitalik Buterin.
Ethereum merupakan pilihan lain selepas Bitcoin yang mana ia dikatakan lebih versatail dan menawarkan proses transaksi yang lebih lancar dan pantas.

Eilish
Cara sebutan yang betul untuk perkataan ini adalah eye-lish.
Selain makanan dan juga kriptowang, antara perkataan lain yang sukar disebut termasuklah nama penyanyi-penulis lagu Billie Eilish.

Billie Eilish pertama kali mendapat pengiktirafan pada 2015 untuk lagu “Ocean Eyes”. Dan kini beliau merupakan antara penyanyi yang popular secara global termasuk di Malaysia dengan lagu “Bad Guy”.