Terdapat satu perkataan yang menjadi punca mengapa mengasingkan bajet perbelanjaan anda ke dalam akaun bank yang berbeza adalah idea yang baik. Jawapannya adalah keutamaan.

Jika anda mempunyai atau menyimpan semua wang anda dalam satu akaun, adalah sukar untuk mengetahui dengan jelas, belanja yang harus anda keluarkan dan baki sebenar untuk bajet bulanan pada sesuatu masa.


Oleh itu, apabila anda menggunakan akaun bank yang berbeza untuk setiap perbelanjaan, ia dilihat dapat membantu anda mengetahui had perbelanjaan untuk sesuatu perkara. Malah, ia juga akan memastikan anda tidak khuatir anda terguna sejumlah wang yang perlu digunakan untuk tujuan lain.

Konsepnya sama seperti tabung di rumah. Kalau anda pernah lalui zaman tabung fizikal, pastinya anda pernah mengasingkan duit belanja anda di dalam bekas yang berlainan. Ada tabung beli mainan, ada tabung untuk beli snek petang atau tabung untuk bercuti dan macam-macam lagi.

Benarkah Mempunyai Akaun Bank Yang Berbeza Bantu Mengurus Kewangan Lebih Baik?

Secara umumnya, ia mungkin kelihatan seperti tidak masuk akal untuk membuka terlalu banyak akaun dalam satu masa, tetapi ia sebenarnya dapat memberikan manfaat yang berguna untuk masa kelak.

Salah satunya, ia memudahkan anda menjejaki paras perbelanjaan anda, terutamanya untuk anda yang mempunyai banyak komitmen dan tanggungan yang banyak.


Sebagai contoh, untuk komitmen tetap, anda perlu mengeluarkan belanja sekitar RM1200, tetapi mungkin anda akan membayarnya pada hujung bulan. Sementara, perbelanjaan harian pula bergantung kepada keadaan semasa yang mungkin besar atau mungkin kecil.

Jadinya, bagi mengelakkan anda menggunakan bajet yang disimpan untuk hujung bulan, maka sudah tentu mengasingkannya adalah idea yang lebih baik.

Bagaimana Untuk Mengasingkan Kewangan Untuk Perbelanjaan Yang Berbeza?

Anda boleh mulakan dengan mengasingkan perbelanjaan anda mengikut kategori.

Contohnya, dua untuk perbelanjaan bulanan, satu untuk simpanan. Untuk dua akaun perbelanjaan tersebut, anda boleh menyusunnya dengan cara satu belanja tetap atau belanja seperti duit rumah, kereta, bil, dan utiliti. Manakala satu lagi akaun boleh dikhaskan untuk makanan dan belanja barangan rumah serta belanja untuk diri sendiri.

Selain itu, anda juga boleh buka satu lagi akaun yang menyimpan wang untuk kecemasan. Biasanya, jika ia tidak digunakan anda boleh memindahkannya ke dalam akaun simpanan tetap setelah mencapai sesuatu angka ataupun setelah tamat tahun berkenaan.


Cara Untuk Kekal Konsisten Dengan Penggunaan Akaun Bank Yang Berbeza

Sudah tentu, perancangan kewangan tidak terhenti sekadar membahagikan bajet perbelanjaan anda ke dalam akaun bank yang berasingan.

Apa yang penting adalah kekal teratur dan konsisten dengan bajet anda. Hal ini untuk anda berada dalam landasan yang tepat sepanjang proses selain membantu anda menjejaki jumlah simpanan anda.

Oleh itu, perkara yang boleh anda lakukan adalah:

  • Elakkan daripada terlalu memfokuskan kepada simpanan sehingga mengakibatkan anda berasa terbeban dengan bajet perbelanjaan anda. Jadinya, lakukan pengasingan simpanan yang besar secara berperingkat.
  • Anda juga perlu menyenaraikan seberapa banyak perbelanjaan yang mungkin anda akan bayar pada bulan tersebut. Ia bagi mengelakkan perkiraan bajet anda terkurang dan menjejaskan jumlah simpanan dan dana kecemasan.
  • Asingkan secara konsisten. Elakkan daripada membahagikan wang secara tidak tetap dan tidak menepati keperluan bulanan. Hal ini kerana, ia menyukarkan anda untuk menjejaki perbelanjaan bulanan anda.