Tinggal 3 hari lagi sebelum kita memasuki tahun 2022. Pastinya anda sudah bersiap sedia dengan azam dan matlamat yang baharu untuk tahun baru ini. Namun, sebelum kita bercerita tentang perkara yang anda sasarkan untuk dicapai pada tahun yang mendatang, mari kita lihat dahulu kenangan dan memori yang menarik sepanjang tahun 2021.

Untuk memori ini, Tajria hari ini ingin mengimbas semula 10 makanan menarik yang pernah kami ulas di laman Youtube Tajria sepanjang tahun 2021. Bagi yang tidak mengetahui, terdapat lebih dari 30 menu yang telah kami cuba pada tahun ini.

Berikut adalah 10 makanan yang memberi impak dan juga memori yang indah untuk tahun 2021.

KFC Zero Chicken Burger

Salah satu menu yang sangat unik pernah kami cuba adalah KFC Zero Chicken Burger. 

Untuk pengetahuan anda, KFC Malaysia sebelum ini pernah menawarkan burger berasaskan tumbuhan. Ia adalah burger tanpa daging yang padat yang disediakan menggunakan 11 herba dan rempah rahsia Colonel Sanders yang halal. Ia merupakan sumber protein alternatif berkualiti tinggi yang kaya protein, kaya serat, rendah lemak tepu dan juga tanpa kolesterol.

Antara sebab mengapa Tajria merasakan burger tanpa faging dari KFC ini menarik adalah, ia merupakan satu percubaan yang berani oleh KFC dalam penawaran menu baharu. Tambahan, pada masa akan datang, menu ini mungkin akan dipasarkan dengan lebih meluas.

McD BTS Meal

Ia bukanlah satu hidangan yang menarik tetapi antara yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pembeli di Malaysia. 

Apa tidaknya, jualannya tersedia untuk masa terhad di kedai-kedai McDonald’s yang mengambil bahagian, jadi pastilah ramai yang akan berebut mendapatkan satu daripadanya.

Untuk BTS Meal ini, ia adalah set hidangan yang dilengkapi dengan 10 ketul ayam McNuggets, satu botol Coke, kentang goreng bersaiz sederhana dan dua sos pencicah eksklusif yang dipilih oleh BTS: Sweet Chilli dan Cajun.

KFC Zinger Cheezila

Nampaknya KFC sekali lagi menarik perhatian Tajria dalam mendapatkan menu terbaru mereka iaitu KFC Zinger Cheezilla.

Zinger Cheezilla ini merupakan burger yang menampilkan kepingan ban bersama-sama kepingan ayam Zinger Hot & Spicy dan juga patti keju mozarella yang digoreng sehingga garing dan keemasan.

Antara menu yang sangat digemari oleh Tajria kerana ia menawarkan kepingan keju tebal yang sememangnya lazat sehingga menjilat jari.

Starbucks Ayam Salai Masak Lemak

Tidak sekadar menawarkan minuman yang menjadi kegemaran millenial, Starbucks juga membawakan makanan berat yang sesuai untuk disajikan kepada umum.

Apa yang menarik mengenai menu Ayam Salai Masak Lemak dari Starbucks ini, ia merupakan menu yang dicipta khas oleh Dato’ Fazley Yaakob. Jadinya, menu ini menghidangkan resipi citarasa melayu yang sangat bersesuaian untuk pilihan makanan tengahari yang pantas.

Tealive Onde-Onde

Dari segi minuman pula, Tealive telah melancarkan menu minuman yang diinspirasikan dari kuih kegemaran rakyat Malaysia, iaitu Tealive Onde-Onde.

Minuman klasik ini menampilkan kepingan kelapa bakar bersama-sama dengan biji mutiara diatasnya. Dipadankan sekali dengan air berperisa pandan dan juga pemanis gula melaka, pastinya ia menjadi pilihan yang terbaik didapatkan sewaktu hari panas.

Starbucks Sakura Blossom Strawberry Frapuccino

Pernah menjadi sohor kini pada tahun 2021 yang mana semua individu tidak mahu ketinggalan dalam mendapatkan menu terbaru daripada Starbucks iaitu Sakura Blossom Strawberry Frappe.

Jika anda kunjungi ke rangkaian Starbucks pada awal tahun 2021, menu ini seringkali tiada mempunyai stok yang tersedia disebabkan oleh permintaannya yang tinggi.

Menerusi minuman ini, Starbucks membawakan pengalaman musim bunga sakura menerusi satu gelas air minuman yang mana di dalamnya menampilkan strawberi hancur (strawberry. crushed), susu segar dan juga ais kisar.

Burger King Japanese Curry Burger

Salah satu burger yang menarik perhatian Tajria iaitu Japanese Curry Burger. Rasanya boleh dikatakan agak unik dan menepati citarasa tempatan dengan penawaran kuah kari yang pekat dan berasa dalam setiap gigitan.

Tidak dinafikan, burger dari Burger King ini tidaklah begitu mendapat perhatian ramai. Namun, pada pendapat Tajria, menu ini berbaloi untuk anda cuba pada masa akan datang sekiranya ia diperkenalkan kembali.

McD Spicy Chicken With Apple Slices Burger

Salah satu gabungan yang menari pernah ditawarkan oleh McD. Menu ini menampilkan burger ayam pedas yang dibawakan bersama potong epal segar.

Apa yang menarik, ia turut hadir sos istimewa iaitu sos mayonis yang dicampurkan dengan lada hitam bagi menambahkan lagi keunikan rasa pada edisi burger tersebut.

Tealive X Mamee – Mi Goreng Boba

Mi goreng Boba dari Tealive dan Mamee ini telah mencetuskan pelbagai pendapat dan reaksi dari ramai individu.

Untuk tidak ketinggalan dalam mencuba makanan unik pada tahun 2021, Tajria turut serta mencuba mi goreng yang dicampur boba di dalamnya. Keluaran mi versi goreng ini dikatakan telah ditambah baik dari versi kuah yang sebelumnya.

Pernahkah anda mencubanya? Apa pendapat anda tentang inovasi yang dilakukan oleh kedua-dua jenama ini?

A&W Ayam Ghost Pepper

Jika diikutkan dengan trend semasa, penawaran ayam pedas adalah sangat popular dalam kalangan penggemar makanan. Maka tidak hairanlah banyak syarikat yang menawarkan pilihan makanan seperti ini termasuklah A&W Ghost Pepper Chicken.

Dalam percubaan Tajria, ayam ini tidak dinafikan menarik dan menepati citarasa tempatan. Namun, dijangka pada tahun 2022, berkemungkinan besar menu ini tidak lagi akan mendapat perhatian ramai seperti tahun sebelum-sebelum ini.

Bagaimanakah? Adakah menu kegemaran anda termasuk dalam senarai makanan menarik yang pernah diulas Tajria untuk tahun 2021?