Ketika di rumah, setelah anda bangun pagi, pastinya anda akan berjumpa dengan ahli rumah yang lain tidak kira keluarga mahupun rakan penyewa. Atau apabila anda melakukan aktiviti seperti menonton televisyen dan menikmati makanan pastinya anda akan melakukannya bersama individu yang tinggal bersama di dalam rumah. Itulah yang akan berlaku dalam tempoh 24 jam

Lebih-lebih lagi untuk rumah dengan bilangan ahli rumah yang besar tidak kira keluarga atau rakan penyewa, mungkin sukar untuk
menghabiskan masa sehari tanpa ada konflik.

Untuk pengetahuan anda, terdapat peningkatan konflik di rumah sepanjang tempoh PKP.  Semasa PKP, majoriti ahli keluarga akan berada di rumah. Perkara sebegini akan menjurus kepada kemungkinan berlakunya konflik. Konflik yang tidak ditangani boleh menyebabkan stres dan mendorong seseorang untuk melakukan perkara yang tidak diingini kepada ahli keluarganya.

Menurut Tinjau Selidik Kesejahteraan Bermula Dari Rumah
oleh Gardenia, tiga punca utama perselisihan dalam isi rumah
Malaysia semasa PKP termasuk:

  1. 24.6% masalah berlaku disebabkan rasa tidak adil dan tidak puas hati dengan pembahagian tugas mengemas dan membersih rumah.
  2. 15.6% pula mengatakan konflik yang dialami adalah mengenai keadaan belajar secara atas-talian dan kerja sekolah terutamanya untuk golongan B40 yang mungkin kekurangan peranti pintar untuk satu keluarga
  3. 15.5% ahli rumah memberitahu bahawa berlakunya gangguan semasa panggilan kerja atau kelas atas-talian
    diadakan.
  4. 44.3% pula mengalami lain-lain konflik seperti masalah kewangan, percanggahan pendapat mengenai SOP serta pengambilan vaksin dalam kalangan ahli rumah.

Mengapa Ramai Yang Mengalami Dan Berasa Tidak Puas Hati Dengan Pembahagian Tugasan Mengemas Dan Membersih Di Rumah?

Salah satu sebabnya mungkin disebabkan rasa terbeban dengan tugasan yang mendatang.

Tambahan, apabila seseorang telah melakukan salah satu aktiviti lebih dari satu kali, ia mungkin akan merasa tugasan tersebut seperti ia mengganggu dan tidak selesa.

Bukan itu sahaja, sekiranya duduk di dalam rumah yang sama dan hanya orang yang sama sahaja melakukan tugasan tersebut, pastinya ia akan mengundang rasa tidak puas hati sekaligus boleh mencetuskan konflik.

Jadi, bagaimana untuk mengatasi masalah ini?

5 Gaya Utama Pengurusan Konflik

“Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan di dalam dunia ini”

Itulah kata-kata yang sering kita dengar dan amalkan dalam memastikan kelancaran kehidupan seharian.

Oleh itu, untuk membantu anda memahami situasi dan mengurangkan berlakunya konflik harian, Gardenia telah berkongsi 5 gaya utama pengurusan konflik yang boleh anda praktikkan di dalam rumah.

Sentiasa Mendengar Pandangan Ahli Dan Mula Mengalah

Benar, menang tidak semestinya salah. Gaya pengurusan ini membolehkan salah seorang ahli keluarga untuk ‘menang’ dengan
memberikan apa yang dikehendakinya.

Pada asasnya salah seorang mesti mengalah demi
kepentingan orang lain. Dari sudut positif, jika anda mengalah, pertikaian kecil boleh diselesaikan dengan mudah dan pantas.

Sementara, di sudut negatif pula, ahli keluarga yang lantang mungkin mendapat apa yang dikehendaki kerana lebih
mendesak dan berani bersuara. 


Bertenang Untuk Mengelakkan Konflik

Cara lain mengelakkan konflik menggunakan taktik ‘bawa bertenang’ untuk memastikan
situasi panas kembali reda. Ada masanya, anda juga boleh mengasingkan ahli keluarga yang
sedang marah daripada perbincangan.

Seperti yang anda tahu, kebanyakan pertikaian mungkin terlalu dipengaruhi perasaan, oleh yang demikian
meluangkan masa untuk bertenang akan membantu ahli keluarga berkenaan memberi
tumpuan terhadap isu yang dihadapi.

Praktikkan Amalan Tolak Ansur

Bertolak ansur bermaksud mencari jalan tengah. Pendekatan ‘menang-menang’ ini
menjadikan pengorbanan seseorang lebih mudah diterima.
Melaluinya, hubungan akan semakin erat dan kepercayaan semakin meningkat. 


Sentiasa Pertimbangkan Kehendak Dan Keperluan Ahli Rumah

Kaedah paling sukar dan mencabar untuk menguruskan konflik adalah mengetahui kehendak dan keperluan setiap ahli.

Oleh itu, anda perlu luangkan sedikit masa bagi mengenali dan mengetahui lebih lanjut tentang keperibadian ahli rumah sekahligus dapat mencari jalan penyelesaian bersama-sama.
Walaupun setiap gaya pengurusan memerlukan komunikasi, gaya ini memerlukan paling
banyak interaksi.

Tegas Dalam Membuat Keputusan

Ada masanya anda sebagai ibu bapa anda perlu bertegas dengan sesuatu keputusan. Untuk menjadikannya lebih mudah difahami, anda boleh terangkan dan sebab yang mendorong kepada perlaksanaan keputusan supaya semua individu jelas akan kesan dan impaknya.

Tidak dinafikan, setiap ahli keluarga mempunyai kaedah penyelesaian yang berbeza. Tiada satu kaedah sesuai
untuk semua bagi menyelesaikan setiap isu di dalam keluarga.