Kurang daripada 24 jam sebelum masuk ke tahun 2022. Penulis pasti sudah ramai yang mula merancang untuk menggalas dan mencapai tanggungjawab baharu pada tahun yang mendatang.
Semestinya tahun 2021 telahpun memberikan pelbagai pengajaran dan kemahiran baharu kepada setiap individu. Bermula dengan kehidupan selepas pandemik, kemudian diteruskan lagi dengan kebangkitan selepas bencana yang baru-baru ini melanda di beberapa negari.
Benar, pelbagai perkara telahpun anda tempuhi dan menjadikan anda individu yang lebih baik daripada hari semalam. Oleh itu, meletakkan matlamat dan resolusi adalah salah satu cara yang baik dan produktif sebelum melangkah masuk ke tahun baru.
Untuk memulakan perjalanan hidup yang baru, anda boleh melakukan perubahan positif dengan menangkis tabiat buruk, menjana idea-idea yang lebih kreatif dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.
Tetapi harus diingatkan, walau apapun azam dan matlamat anda untuk tahun 2022, perkara yang paling penting adalah proses dan cara untuk mencapai matlamat yang telah anda tetapkan.
Terdapat 5 perkara yang anda ingin pertimbangkan untuk tahun baru ini:
Tetapkan matlamat yang jelas
Bagi anda yang ingin memulakan perjalanan baru dalam hidup anda, adalah amat penting bagi anda untuk menetapkan pencapaian anda dengan lebih jelas. Hal ini kerana, anda boleh mengambil kira perkara-perkara yang diperlukan dengan lebih mudah dan teratur.
Bukan itu sahaja, apabila ia dipersembahkan dengan jelas, ia dapat membantu anda untuk melihat semula jika terdapat sebarang kesalahan yang perlu diperbetulkan.
Sebagai contoh, jika anda seorang pelajar, anda semestinya ingin mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek yang diambil atau dipelajari. Bagi menjadikannya lebih mudah untuk dicapai, anda perlu menetapkannya dengan lebih khusus lagi seperti, memperolehi gred A untuk subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan lain-lain. Dengan ini, anda boleh lihat nilai yang perlu anda dapatkan untuk azam anda.
Ketahui potensi diri
Selepas mengetahui matlamat dan tahap pencapaian, anda juga perlu mengetahui potensi dan kelemahan diri. Apabila anda mengetahui potensi diri, ia membantu dalam menggunakan potensi secara maksima bagi mendapatkan semua peluang yang ada. Selepas itu, anda juga boleh mengurangkan kelemahan anda dengan memperbaiki dan meningkatkan kredibiliti.
Apakah yang dimaksudkan dengan potensi diri? Potensi diri adalah nilai utama dalam diri yang mana bersesuaian dengan kehendak industri. Oleh itu, kenali diri anda dan cuba untuk padankannya dengan keperluan industri. Dengan ini, ia dapat menjadikan diri dan azam anda sentiasa relevan.
Menilai idea dari perspektif yang berbeza
Himpunkan idea dari perspektif yang berbeza. Mengapa ia perlu? Hal ini kerana, ia membantu anda untuk melihat nilai efektif untuk strategi pengaturan azam yang lebih baik. Menerusi perspektif lain juga, anda dapat mengetahui dan memahami perkara yang anda perlukan dengan baik dan mudah.
Ketersediaan dalam menghadapi risiko
Tidak ada laut yang sentiasa tenang, pasti akan ada ombak yang bergelora yang akan hadir di luar jangkaan anda. Begitu juga azam dan matlamat yang anda ingin capai, ia semestinya tidak akan mudah seperti yang anda impikan. Oleh itu, anda juga perlu sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang risiko yang mendatang.
Terdapat empat cara yang boleh anda pertimbangkan dalam mengurus risiko, iaitu mengelak, mengurangkan, memindahkan dan menerima risiko tersebut. Ini adalah berdasarkan The Classic Four iaitu matriks dalam pengurusan risiko.
Tempoh masa untuk pelaksanaan
Selepas mengetahui kesemua maklumat untuk azam tahun baru anda, tempoh masa untuk pelaksanaan matlamat juga amat penting. Letakkan tarikh siap untuk sesuatu matlamat agar ia boleh dijejaki dengan mudah. Bukan itu sahaja, ia bertujuan untuk mengukur tahap kemampuan dan kekuatan diri. Dengan ini, sasaran akan menjadi lebih praktikal untuk dicapai dan diperolehi.
Jadi bagaimana? Sudahkah anda bersedia untuk berhadapan dengan cabaran dan pengalaman baharu?