Pizza Hut di Jepun dilihat hadir dengan menu yang tersendiri untuk hidangan piza mereka. Berdasarkan laporan dari SoraNews24, jenama tersebut hadir dengan variasi lain yang menukar tepung gandum kepada nasi untuk menu Rice Pizza atau lebih dikenali sebagai Gohan Pizza.

Untuk menu ini, pelanggan boleh memesan Gohan Pizza My Box, yang menampilkan 3 pilihan set iaitu Set Jepun, Set Eropah dan Set Amerika yang mana kesemuanya mempunyai toppings piza yang berbeza seperti Yakiniku Beef Ribs, Teriyaki Chicken, Prawn and Lobster Sauce, Milanese-style Sausage, Garlic Shrimp dan Pepperoni Lover.

Menurut Pizza Hut, tujuan utama pengenalan variasi Gohan Pizza ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Ia termasuklah berikutan peningkatan harga gandum secara global selain bekalan gandum turut dijangka akan terjejas akibat daripada perubahan iklim yang melanda dunia, menurut laporan Akademi Sains China.
Bergerak ke hadapan, proses mengimport gandum ke Jepun dilihat akan menjadi lebih sukar. Lebih-lebih lagi, negara berkenaan tidak mempunyai pegangan dominan untuk gandum. Maka, adalah wajar untuk Pizza Hut mendapatkan bahan tempatan dan lebih murah.