Carian
Bagaimana Cara Mengelakkan Dapur Berbau Busuk?
August 30, 2022 Lina Rosli

Untuk mendapatkan dapur yang bebas daripada bau-bauan yang berasap dan busuk bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Hal ini kerana, bagi kebanyakan dapur, ia dipenuhi dengan pelbagai jenis barangan, peralatan dan bahan makanan yang cenderung untuk mengeluarkan bau yang tersendiri. Dan ia sedikit sebanyak akan menjejaskan kitaran udaran segar di bahagian dapur rumah anda.

Meletakkan pewangi pada ruangan dapur sememangnya tidak memberikan impak yang begitu besar pada kesegaran dapur. Faktor ini berikutan saiz ruang dapur yang terhad sekaligus menjadikan penyebaran bau dari penyembur penyegar dapur tidak dapat berfungsi dengan baik.

Jadinya, untuk memastikan dapur anda kekal wangi dan segar, berikut adalah beberapa amalan yang boleh anda praktikkan untuk rumah anda.

Pastikan Ruang Dapur Anda Dilengkapi Ruang Ventilasi Yang Lengkap

Ruang ventilasi ini berfungsi sebagai tempat yang membantu untuk mengeluarkan udara busuk di dapur supaya bau tersebut dapat digantikan dengan udara segar.

Sebagai contoh, tingkap dan pintu perlu dibuka bagi memberikan ruang untuk pengudaraan sewaktu memasak atau beraktiviti. Anda juga disarankan untuk memasang kipas atau penghala udara yang boleh menggerakan asap dapur, bau makanan, haba dan udara busuk ke luar dapur.

Sentiasa Bersihkan Sinki Dapur

Salah satu ruang yang kotor di dapur adalah sinki. Lubang sinki merupakan kawasan yang mana ia mengumpulkan segala jenis sisa makanan dan juga bahan-bahan buangan yang berbau busuk.

Oleh sebab itu, pembersihan terperinci secara berkala perlu dilaksanakan bagi memastikan sinki anda tidak mengeluarkan bau atau udara yang busuk di dapur.

Sekiranya anda tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membersihkannya, cara yang paling mudah untuk menghilangkan bau busuk sinki adalah dengan menuangkan 1 cawan soda penaik dan 1 cawan larutan cuka putih. Biarkan selama 30 minit, kemudian basuh longkang dengan air tawar.

Kurangkan Tabiat Menyimpan Lauk Harian

Selain daripada memastikan ruang dapur mempunyai pengudaraan yang baik dan juga kebersihan sinki sentiasa di jaga, setiap pemilik rumah juga perlu memastikan penyimpanan barang makanan seperti lauk dan juga snek yang berbau tidak dibiarkan terdedah.

Hal ini kerana, apabila ia dibiarkan di dapur untuk tempoh yang lama, ia akan menyebabkan bau yang dikeluarkan oleh makanan tersebut tersebar ke udara.

Bukan itu sahaja, anda juga disarankan untuk sentiasa bersihkan tong sampah. Ia merupakan kawasan utama pengumpulan bakteria penyebab bau. Oleh itu, selepas anda basuh tong sampah, taburkan sedikit baking soda ke dalamnya untuk mengelakkan bau daripada tinggal di dalam tin.

Akhir sekali, basuh dan gantikan span dapur dan kain lap dapur secara berkala. Segera lap dan bersihkan tumpahan dapur, periuk berminyak dan sisa makanan kerana semakin lama anda biarkannya, akan semakin susah ia untuk dihilangkan.

Komen