Resorts World Cruises Terima Lebih 40,000 Tempahan Untuk Pelayaran Singapura – Port Klang
Lina Rosli
Resorts World Cruises mengumumkan bahawa pelabuhan dwi pertama di rantau antara Singapura dan Pelabuhan Klang telah menerima lebih 40,000 tempahan tetamu selepas kurang daripada sebulan beroperasi.
Pelayaran pergi-balik untuk 3 malam melalui Kapal Genting Dream dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pinang dan pelayaran 2 Malam dari Pelabuhan Klang ke Singapura ini dilihat semakin memperoleh populariti dalam kalangan pelancong. Dan apa yang menariknya adalah kira-kira 50% daripada jumlah tempahan adalah pakej yang akan berlepas dari Pelabuhan Klang.

Dengan hadirnya peluang untuk berlayar dari Pelabuhan Klang ini, ia sekaligus membantu menjadikan Pelabuhan Klang sebagai sebahagian daripada lokasi dwipelabuhan selain turut dapat mempromosikan kawasan berkenaan sebagai salah satu pelabuhan (homeport) dan juga sebagai destinasi pelancongan.
Selain Pelayaran 3 Malam ke Pulau Pinang dan Singapura yang berlepas pada setiap hari Isnin, para pelancong yang berlepas dari Pelabuhan Klang juga boleh memilih pelayaran 2 Malam pergi dan balik ke Singapura. Pelayaran ini berlepas pada setiap hari Khamis dan Sabtu, dan pakej bermula daripada RM599 untuk setiap orang.

Sekiranya anda tidak berminat untuk bermalam, Resorts World Cruises juga akan menawarkan pelayaran sehala, yang merupakan salah satu alternatif kepada perjalanan udara dan darat untuk berjuta-juta pelancong antara ke Singapura dan ke Kuala Lumpur.
Kapal persiaran Genting Dream, ‘A Resort Cruising at Sea’ menyediakan pelbagai tawaran menarik yang telah termasuk sebahagian daripada tawaran dan pakej pelayaran, seperti makan malam percuma sepanjang hari yang menampilkan hidangan berkonsepkan antarabangsa dan Asia, serta penyediaan sudut snek kegemaran untuk dinikmati sepanjang hari.
Bukan itu sahaja, kapal berkenaan juga diiktiraf sebagai Kapal Pesiaran ‘Mesra Halal’ yang mengikuti Standard OIC/SMIIC pertama di dunia. Dengan ini, pengembara atau pelancong Muslim akan mendapat akses kepada makanan dan minuman yang halal bersama-sama dengan ruang solat juga disediakan di atas kapal untuk kemudahan tetamu yang beragama Islam.
Tawaran inklusif lain yang menarik juga disediakan untuk tetamu termasuk persembahan pentas antarabangsa yang menakjubkan dan tayangan filem di teater Zodiac berkapasiti 1,000 tempat duduk, taman tema air di laut dengan kolam dan 6 gelongsor air, laluan tali dan ziplines, ‘rock climbing’, penyediaan aktiviti rekreasi untuk seisi keluarga dan banyak lagi.

Resorts World Cruises juga menawarkan pelbagai jenis pilihan penginapan yang menarik di atas kapal dengan perkhidmatan terbaik mengikut kelasnya yang tersendiri. Antara pilihan penginapan yang disediakan menampilkan Interior Staterooms, Oceanview, Balcony staterooms dan suite mewah, “The Palace” dengan kemudahan eksklusif seperti perkhidmatan butler tersendiri selama 24 jam dengan gaya Eropah.
Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lanjut tentang pelayaran Genting Dream ini, layari laman rasmi Resorts World Cruises atau telefon, 1800-814-852 untuk mula melakukan tempahan.