Cubaan bangun awal setiap hari boleh dikatakan antara perkara yang cukup sukar untuk dilaksanakan oleh seseorang individu. Ini kerana terdapat beberapa faktor yang boleh mendorong kepada kesukaran untuk bangun awal pagi seperti kualiti tidur yang buruk, kebimbangan, tidur lewat dan banyak lagi.

Oleh yang demikian, untuk memastikan anda mendapatkan tidur yang cukup sekaligus menjadi mudah untuk bangun pagi, berikut adalah tiga perkara yang perlu anda lakukan pada waktu malam sebelum tidur.

Pastikan Bilik Anda Bercahaya Pada Waktu Pagi

Badan kita menggunakan cahaya untuk memberitahu masa, jadi mendedahkan diri kita kepada cahaya pada masa yang sama setiap pagi boleh membantu kita menyesuaikan irama sirkadian kita (a.k.a. kitaran tidur semula jadi kita) kepada waktu bangun yang lebih awal.

Sebaik-baiknya anda perlu didedahkan kepada cahaya selama kira-kira 30 minit dalam satu jam pertama selepas bangun tidur, dan lebih baik jika cahaya ini adalah cahaya matahari. Anda boleh mendapatkannya sama ada jika anda keluar atau duduk di tepi tingkap yang diterangi matahari.

Namun, sekiranya rumah yang anda diami tidak mempunyai tingkap atau lubang untuk cahaya masuk, dalam hal ini anda boleh menggunakan kotak cahaya spektrum luas atau penggera cahaya yang direka khas untuk kesan yang serupa. Hanya hidupkan lampu sejurus selepas anda bangun dan duduk berdekatan dengannya sama ada semasa anda bersarapan, bekerja atau melengkapkan bahagian lain dari rutin pagi anda.

Ambil Melatonin Dos Rendah

Melatonin ialah hormon yang dihasilkan oleh badan anda secara semula jadi, dan paras melatonin anda biasanya memuncak beberapa jam sebelum waktu tidur biasa anda.

Oleh itu, jika anda cuba mewujudkan tabiat baharu untuk tidur lebih awal dan bangun lebih awal, anda disarankan untuk mengambil dos rendah melatonin kira-kira satu setengah jam sebelum tidur khusus untuk anda yang mungkin mengalami masalah sukar untuk tidur. Melakukannya boleh membantu memberi isyarat kepada badan dan otak bahawa sudah tiba masanya untuk tidur.

Letakkan Jam Penggera Anda Di Bilik Atau Ruang Selain Tempat Anda Tidur

Menunda penggera untuk mendapatkan waktu tidur tambahan adalah perkara yang perlu anda hindari. Hal ini kerana, ia tidak memberikan manfaat kepada tubuh dan hanya menambah kemudaratan kesihatan anda yang mana ia boleh menyebabkan badan dan otak anda menjadi keliru.

Beberapa penyelidikan mengatakan penggunaan butang tunda yang berlebihan akan melatih otak anda untuk berfikir “hanya beberapa minit lagi” dan bukannya “masa untuk bangun” ketika mendengar penggera anda. 

Oleh itu, kesan jangka masa panjang tabiat menekan butang tunda akan membawa kesan yang buruk kepada otak dan juga badan anda

Jika anda terbiasa menekan tunda, cuba alihkan penggera anda dari katil supaya anda perlu bangun untuk mematikannya seperti meletakkannya di ruang tamu ataupun bilik tetamu