Bagaimana Nyamuk Memilih Mangsanya? Mengapa Kulit Berasa Gatal Selepas Digigit?
Lina Rosli
Pastinya anda sedia mengetahui betapa seksa dan gatalnya rasa pada bahagian kulit yang digigit nyamuk.
Bukan sekadar itu, pada bahagian kulit yang digigit juga akan muncul benjolan merah kecil yang akan membengkak hampir serta merta sehingga membuatkan anda ingin mula menggaru disebabkan oleh kerengsaan tersebut.
Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana satu gigitan nyamuk boleh menyebabkan kesan yang sedemikian pada kulit?

Mengapa nyamuk menggigit gatal?
Untuk pengetahuan anda, nyamuk menggigit menggunakan mulut khas yang dikenali sebagai proboscis untuk menyedut darah.
Ia akan menembusi kulit dan menyuntik air liurnya ke bahagian dalam kulit. Air liur tersebut berfungsi seakan anestetik yang mana anda tidak akan merasai gigitan sehingga serangga itu terbang pergi.
Menurut Institut Perubatan Howard Hughes, mereka menjelaskan bahawa air liur nyamuk juga mempunyai sifat antikoagulan supaya darah anda terus mengalir tanpa pembekuan.
Air liur nyamuk mempunyai banyak protein di dalamnya dan sesetengahnya adalah alergen. Dan kesan daripadanya, tubuh akan melabel protein nyamuk sebagai bendasing, dan sel-sel imun yang ada pada tubuh akan bertindak untuk cuba melawannya sehingga mencetuskan kegatalan pada kulit.

Jadinya, kemerahan dan kegatalan pada kulit bukanlah disebabkan oleh gigital. Tetapi berpunca daripada tindak balas badan terhadap protein nyamuk asing yang cuba dilawannya. Itulah sebabnya sesetengah orang mungkin hanya mempunyai reaksi ringan terhadap gigitan, manakala yang lain, lebih sensitif terhadap protein asing, bertindak balas dengan kawasan bengkak yang besar yang lebih menyakitkan.
Bagi yang tidak mengetahui, hanya nyamuk betina sahaja yang menggigit. Hal ini kerana, nyamuk betina memerlukan makanan iaitu darah untuk menghasilkan telur untuk pembiakan.
Bagaimanakah Nyamuk Memilih Mangsanya?
Seperti kebanyakan serangga mengigit darah yang lain, nyamuk boleh menghidu kita dari jarak jauh melalui karbon dioksida yang dihembus.
Daripada situ, mereka akan mendekati mangsa sebelum mengetahui petunjuk kimia lain sebelum memilih untuk menggigit dan mendapatkan darah daripada mangsa.
Setakat ini, masih tiada kajian yang khusus mengenai jenis darah yang digemari nyamuk tetapi secara umumnya, kumpulan darah yang sering menarik perhatian nyamuk adalah dalam kalangan darah O dan juga A.

Selain itu, beberapa faktor lain yang boleh mempengaruhi analisa nyamuk untuk menggigit individu termasuklah:
- Sebatian pada kulit yang menjadikan sesetengah individu lebih menarik kepada nyamuk seperti ammonia dan asid laktik.
- Bakteria pada kulit anda juga boleh menjejaskan bau badan anda sehingga menjadikan nyamuk tertarik untuk mendapatkan darah dalam badan.
- Ada kajian turut mendapati genetik juga boleh membuatkan seseorang kelihatan lebih menarik dalam kalangan nyamuk. Namun, ia tidak ada yang terbukti secara konklusif.