Carian
Populariti Cappuccino, Bagaimana Ia Tercetus?
September 9, 2022 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa minuman kopi kegemaran ramai iaitu Cappuccino hanya mula menjadi popular di Amerika pada tahun 1980-an?

Walau bagaimanapun, minuman ini bermula sejak ratusan tahun lalu dan telah dinikmati oleh generasi di Itali dan benua Eropah.

Untuk pengetahuan anda juga, di Eropah, aktiviti minum kopi pada asalnya berasaskan gaya penyediaan tradisional Uthmaniyyah. Air dan biji kopi dididihkan, dan kadangkala ditambah gula. Ini serupa dengan penyediaan kopi Turki moden.

Menjelang akhir 1700-an, British dan Perancis telah mula menapis biji kopi daripada kopi mereka. Secara beransur-ansur, kopi yang ditapis dan dibancuh menjadi lebih popular daripada kopi rebus. Pada sekitar masa inilah istilah ‘cappuccino’ mula meniti di bibir masyarakat.

Bagaimana Nama Cappuccino Muncul?

Cappucino pertama kali muncul sebagai ‘Kapuziner’ di kedai kopi Vienna pada tahun 1700-an yang mana ia digambarkan sebagai kopi dengan krim dan gula.

Ada juga yang menyatakan bahawa minuman ini mempunyai warna coklat yang serupa dengan jubah yang dipakai oleh biarawan Capuchin (‘Kapuzin’) di Vienna, dan dari sinilah nama mereka berasal.

Namun, untuk minuman yang cappuccino yang telah kita nikmati sekara ini sebenarnya telah dicipta di Itali, dan nama Kapuziner telah disesuaikan untuk menjadi ‘Cappuccino.’ Ia pertama kali dibuat pada awal 1900-an, sejurus selepas popularisasi mesin espresso pada tahun 1901.

Populariti Cappuccino Moden

Selepas Perang Dunia II, pembuatan cappuccino telah melalui beberapa penambahbaikan selain turut dipermudahkan cara pembuatannya di Itali. Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh mesin espresso yang lebih baik dan lebih meluas, yang memperkenalkan apa yang dipanggil “Age of Crema.

Penambahbaikan ini telah meluas dan merentasi bahagian Eropah sehingga sedikit sebanyak mempengaruhi populariti cappuccino di seluruh dunia.

Ini adalah apabila cappuccino moden dilahirkan, minuman ini dilihat tidak hanya fokus kepada gaya hidup dan biji kopi sahaja, tetapi mula mempertimbangkan semua elemen yang akan menghasilkan cappuccino yang baik. Ia termasuklah;

  • espresso yang berkualiti
  • keseimbangan susu dan buih
  • kehadiran krim
  • penggunaan cawan yang bersesuaian

Dan daripada situlah, tabiat minum cappuccino mula meluas dan merebak ke seluruh dunia. Pada tahun 1990-an, pengenalan budaya kafe dan minuman berharga lebih tinggi turut mempengaruhi pemilihan kopi. Ia sekaligus menjadikan cappuccino, latte dan minuman seangkatan dengannya mula popular tidak hanya di Barat yang mana sebahagian besarnya mungkin disebabkan oleh pengenalan Starbucks tetapi juga di Asia termasuk China, Korea, Malaysia dan Indonesia.

Sumber: Esquire Coffee, History Of Coffee

Komen