Volvo Car Malaysia memperkenalkan kemudahan perkhidmatan pembaikan dan pengecatan kereta yang pertama melalui pelancaran Pusat Pembaikan Kerosakan Bertauliah Volvo atau turut dikenali sebagai Volvo Certified Damage Repair Centre (VCDR).

Dibuka terhad di 2 tempat terpilih, VCDR kini boleh didapati di Federal Auto Cars yang terletak di Glenmarie dan Sime Darby Swedish Auto di Ara Damansara. Menurut Volvo, dengan penawaran kemudahan pusat pembaikan ini, ia sekaligus dapat merealisasikan visi mereka dalam menampilkan standard tertinggi penjagaan selepas jualan kepada pelanggan.

Bukan itu sahaja, Malaysia turut menjadi negara kedua di rantau Asia yang memperkenalkan VCDR. Dengan ini, ia bukan sahaja dapat meningkatkan pengalaman selepas jualan pelanggan tetapi juga dapat menguruskan sumber yang menjimatkan kos serta memastikan ketangkasan perniagaan secara keseluruhan.

Tambah Volvo Car Malaysia lagi, mereka komited untuk menawarkan kualiti pembaikan secara keseluruhan dengan menggunakan alat dan peralatan canggih yang digabungkan dengan pematuhan standard piawaian Volvo yang ketat.

Piawaian tersebut termasuklah penggunaan teknologi lestari seperti sistem pengudaraan tekanan rendah dengan kawalan automatik yang mengurangkan pelepasan karbon dioksida, pelepasan zarah mikroskopik dan penggunaan tenaga.

Selain itu juga, jentera kerja mereka turut menggunakan bateri semasa memanaskan sistem elektrik, dan lebih daripada 80% udara akan disedut masuk melalui sistem penapisan yang mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau. Penggunaan Sebatian Organik Meruap (VOC) dalam cat kini digantikan dengan cat berasaskan air, mengurangkan pendedahan pekerja kepada bahan kimia berbahaya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pusat Pembaikan Kerosakan Bertauliah Volvo, anda boleh hubungi Volvo Ara Damansara di 03-7623 3200 atau Volvo Glenmarie di talian 016-248 0878.