Granular Parakeratosis, Ruam Kulit Akibat Sabun Pencuci
Lina Rosli
Granular parakeratosis atau parakeratosis berbutir adalah keadaan kulit yang menjadi merah dan bersisik lebih-lebih lagi pada bahagian lipatan badan seperti ketiak dan lengan. Ruam kulit ini dilaporkan sering berlaku dalam kalangan wanita pertengahan umur. Namun, perkara yang sama juga boleh dialami oleh bayi dan juga kanak-kanak sekiranya tidak dikawal selia dengan baik.
Parakeratosis berbutir boleh hadir sebagai intertrigo iaitu ruam dalam lipatan badan atau sebagai ruam bukan intertriginous. Ia muncul sebagai ruam bersisik bertompok yang kadang-kadang gatal. Dalam kes yang teruk, ruam merebak secara meluas ke bahagian kulit yang lain yang mana apabila ia sembuh, kulit akan mengelupas (desquamation), menyerupai pengelupasan yang dilihat pada pellagra.
Apakah Punca Berlakunya Parakeratosis Berbutir?
Parakeratosis berbutir sering dikaitkan dengan geseran, oklusi, dan berpeluh. Namun, secara umumnya, terdapat dua faktor yang boleh menyebabkan Parakeratosis berbutir. Salah satunya:
- Kecacatan dalam pengeluaran filaggrin. Protein ini biasanya terdapat dalam epidermis atas, tetapi terdapat pelbagai variasi genetik yang membawa kepada kelemahan fungsi penghalang kulit. Ini termasuk punca biasa kulit kering, ichthyosis vulgaris.
- Produk kosmetik atau dobi yang mengandungi antiseptik dan benzalkonium klorida. Bertindak sebagai surfaktan, benzalkonium klorida boleh mengganggu membran lipid selular dan menyahaktifkan enzim dalam kulit sekaligus mendorong kepada percambahan, perkembangan sel kulit yang tidak normal dan dermatitis sentuhan yang merengsa.

Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, pakar dermatologi di seluruh Australia telah melaporkan peningkatan kes dalam ruam kulit yang disebabkan oleh antiseptik dobi yang ditambahkan pada cucian. Ruam atau parakeratosis berbutir ini muncul apabila terdapat kimia berlebihan sewaktu cucian dan menyebabkannya melekat pada pakaian.
Untuk pengetahuan anda, kepentingan memilih sabun pencuci yang baik sudah menjadi satu kemestian. Hal ini kerana detergen biasa sedia mempunyai reputasi buruk apabila melibatkan kerengsaan kulit. Ronaldson dan Nixon berkata terdapat dua cara sabun pencuci boleh mengakibatkan ketidakselesaan pada kulit.
Yang pertama adalah kerengsaan kerana sabun pencuci kebanyakannya mengandungi bahan kimia yang merengsakan kulit secara semula jadi. Yang kedua, adalah tindak balas alahan terhadap perkara seperti pewangi atau pengawet.

Bagaimana Menghalang Parakeratosis Berbutir?
Oleh sebab itu, terdapat beberapa perkara yang patut diberi perhatian semasa membeli-belah untuk mendapatkan sabun pencuci. Antaranya anda perlu memastikan bahawa pencuci pakaian anda tidak menyebabkannya gatal dan tidak selesa. Cara paling mudah untuk memastikan kulit anda tidak teriritasi adalah dengan menambahkan kitaran bilas tambahan untuk cucian menggunakan mesin basuh.
Selain itu, pakar turut mengatakan bahawa penggunaan air sejuk sepatutnya bersesuaian untuk kebanyakan cucian. Namun, menjalankan mesin anda pada kitaran air panas bersama serbuk penaik semestinya boleh membantu mengeluarkan sisa sabun pada pakaian dan sekaligus memberikan keadaan pakaian yang lebih suci dan bersih.