Baru-baru ini, Victor Solomon yang merupakan seorang penyanyi dan juga selebriti dilihat telah hadir dengan karya seni fizikal yang cukup mempersonakan iaitu arca porselin bola keranjang.

Penghasilan arca ini adalah selari dengan minat Victor Solomon terhadap bola keranjang di samping ingin terus membina kerjaya seninya menerusi pembuatan arca atau sculptures yang diperbuat daripada seramik porselin.

Bagi yang tidak mengetahui, porselin secara tradisinya diperbuat daripada dua bahan penting iaitu kaolin yang juga dipanggil tanah liat cina serta mineral silikat yang memberikan porselin visual seakan plastik pada pandangan kasar.

Memfokuskan kepada motif yang lebih dekat dengan penggemar arca, Solomon mengeluarkan rekaan yang dipenuhi dengan corak bunga hydrangeas pada siri bola keranjang kali ini. Melengkapkannya adalah bentuk acuan kristal bola keranjang yang berwarna emas dan dilukis tangan.

Arca ini didatangkan dengan dua saiz berbeza iaitu ‘Full’ untuk saiz lebih besar dan ‘Halftime’ untuk saiz kecil. Menurut Hypebeast, arca ini tersedia dan dijual kepada umum pada harga sekitar RM1000 untuk saiz ‘Halftime’ dan RM2300 untuk saiz ‘Full’.