Lina Rosli Diterbitkan 20 September 2022

Louis Vuitton Buka Restoran ‘Vegetarian’ Pertama Di Seoul

Sekiranya anda mendengar nama Louis Vuitton, ia akan mengingatkan kepada anda akan penawaran barangan fesyen mewah seperti baju, jam, kasut dan juga beg tangan. Selain daripada itu, Louis Vuitton turut hadir dengan rangkaian produk yang memfokusikan kecantikan seperti alat kosmetik bersiri dan sebagainya.

Tidak hanya itu, nampaknya jenama mewah ini mula menceburi bidang perniagaan yang lebih meluas iaitu pembukaan restoran yang menawarkan hidangan berasaskan tumbuh-tumbuhan, yang terletak di Cheongdam-dong, Gangnam-gu.

Berdasarkan perkongsian, sebelum ini Louis Vuitton telahpun berkolaborasi dengan chef terkenal, Chef Pierre Sang Boyer untuk kedai pop-up pertama mereka di Korea yang mana di sana, ia menyajikan masakan Perancis yang diilhamkan daripada bahan bermusim.

Namun kali ini, tampil dengan sedikit kelainan, Alain Passard at Louis Vuitton yang dibuka di tingkat 4 Louis Vuitton Maison Seoul akan menyediakan ruang yang dimodelkan untuk taman sayur-sayuran mereka yang tersendiri.

Dan daripada situ, setiap hidangan yang dipesan akan menggunakan bahan-bahan segar hasil daripada tanaman mereka bagi menjamin kualiti dan rasa untuk setiap gigitan.

Chef yang bakal mengetuai dapur tersebut adalah chef Michelin 3 bintang, Alain Passard dari Arpège. Menurut Louis Vuitton, menu yang akan dijamukan kepada pelanggan adalah hidangan yang akan menumpukan pada santapan vegetarian seperti sayur-sayuran, herba dan buah-buahan.

Sumber: Louis Vuitton