Menurut laporan oleh Harvard University’s T.H. Chan School of Public Health, ia menyatakan bahawa individu berumur sekitar 50 tahun dan ke bawah menunjukkan peningkatan dalam bilangan yang berisiko mengalami kanser sejak tahun 1990.
Kajian tersebut mendedahkan bahawa individu yang lahir sekitar tahun 1960-an mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami kanser sebelum mereka mencecah umur 50 tahun.
Faktor ini berkemungkinan besar berikutan kecenderungan kumpulan individu ini membuat pemeriksaan kesihatan adalah lebih kurang jika dibandingkan dengan individu berumur 60 tahun ke atas. Kesan daripadanya, banyak penghidap kanser ini mengetahui masalah kesihatan mereka lewat (atau sudah berada di peringkat akhir) yang mana ia akan merumitkan proses rawatan sekaligus mengurangkan kadar kebolehmandirian (survivability) pesakit.
Dalam kajian tersebut juga, data global telah mengenalpasti 14 jenis kanser yang mengalami peningkatan jumlah individu yang menghidapnya bagi kumpulan yang berumur 50 tahun ke bawah. Jenis-jenis kanser itu ialah kanser payudara, kolorektal, endometrium, esofagus, saluran hempedu ekstrahepatik, pundi hempedu, kepala dan leher, buah pinggang, hati, sumsum tulang, pankreas, prostat, perut, dan tiroid.
Jika anda lihat, 8 daripada 14 kanser yang dikenalpasti adalah melibatkan sistem percernaan. Perkara ini sedikit sebanyak didorong oleh amalan diet pemakanan yang tidak sihat serta gaya hidup yang tidak aktif lebih-lebih lagi sekiranya 3/4 dari masa harian dipenuhi dengan kerja dan aktiviti di hadapan gajet.
Dalam kebanyakan kes juga, rata-rata individu lebih gemar untuk mengambil diet yang tidak seimbang selain menikmati hidangan tinggi lemak tepu. Malah, mereka juga turut menjadikan makanan ultra-proses dan bergula sebagai makanan ruji dalam waktu harian.
Jadinya, bagi membendung masalah ini daripada berlarutan dan berleluasa dalam kalangan anak-anak kecil, setiap individu dalam institusi kekeluargaan harus mula menerapkan amalan gaya hidup sihat.
Ia termasuklah melakukan senaman sekurang-kurangnya 2 kali seminggu serta menyediakan hidangan yang tinggi zat dan nutrisi seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan juga bijirin penuh untuk jaminan kesihatan dalam tempoh jangka panjang.