Setelah mengukuhkan reputasi mereka dalam industri peruncitan lebih dari empat dekad, Metrojaya kini kembali untuk memperkenalkan kedai next-gen yang terbaharu mereka khas buat peminat setia gedung ini di LaLaport Bukit Bintang City Centre.

Pembukaan ini dilihat bertujuan memberi pengalaman membeli-belah yang mengasyikkan untuk semua. Bersama-sama dengan pembukaan gedung ini juga, anda boleh mendapatkan pelbagai barangan dan barisan produk-produk eksklusif daripada jenama terkenal seperti Bill Keith, Yani Bakhtiar, Cynthia Tang, dan beberapa jenama yang hanya terdapat di LaLaport Metrojaya.

Dengan lokasi yang strategik di pusat bandaraya Kuala Lumpur, Metrojaya membawa pelbagai pilihan menarik daripada fesyen hinggalah kelengkapan rumah untuk memenuhi keperluan peminat mereka. Antara produk gaya hidup berjenama yang terdapat khas di Metrojaya termasuklah East India Company, Somerset Bay, Cape Cod dan Living Quarters serta banyak lagi koleksi eksklusif Metrojaya yang lain.

Bukan itu sahaja, Metrojaya LaLaport juga akan menjadi yang pertama dalam menyediakan vendor kopi tersendiri. Dengan ini, pelanggan boleh berkunjung dan mula memesan minuman yang digemari di samping menerokai barangan keperluan diri dan rumah dengan lebih mudah dan santai.

Selain daripada ruang kopi, Metrojaya turut hadir dengan perancangan untuk mengadakan bengkel yang menyeronokan kepada pelanggan yang berminat untuk mempelajari sesuatu yang baharu. Setakat ini, ia masih lagi belum diperkenalkan dan dijangka akan tersedia di Metrojaya tidak lama lagi.

Bagi yang ingin berkunjung ke Metrojaya LaLaport, ianya boleh diakses menggunakan pengangkutan awam melalui LRT Hang Tuah dan stesen Monorel KL yang mana ia hanya mengambil masa lima minit untuk berjalan kaki.