KFC Malaysia kini hadir dengan wajah serba baharu untuk aplikasi pesanan atas-talian mereka. Ia menampilkan wajah hadapan yang lebih kemas dan moden selain membawakan juga ciri menarik yang dijangka akan memberikan pengalaman yang mengujakan kepada pelanggan.

Ciri baharu yang dimaksudkan adalah pengenalan sistem ganjaran dalam bentuk mata ganjaran (points). Berdasarkan informasi pada aplikasi, pelanggan akan menerima 1 mata ganjaran untuk setiap nilai RM1 di dalam bil pesanan.

Bagaimana Untuk Mula Melakukan Pesanan Menggunakan Aplikasi Baharu Dari KFC?

Cara untuk menggunakan aplikasi ini mudah sahaja. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah:

  1. Pilih ciri penghantaran yang anda ingin gunakan – penghantaran ke rumah atau ambil di kedai.
  2. Kemudian, mula pesan hidangan yang anda ingin dapatkan dan tambahkannya ke dalam bakul.
  3. Pastikan anda mendaftar masuk ke dalam aplikasi untuk menikmati ganjaran yang ditawarkan.
  4. Akhir sekali, lakukan pembayaran dan restoran akan mula menyediakan makanan anda.

Bercakap mengenai pembayaran, aplikasi baharu dari KFC ini menyokong transaksi secara tunai, perbankan internet, kad debit dan kredit selain turut menawarkan transaksi menerusi dompet digital seperti GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, dan Boost.

Harus diingatkan juga, untuk setiap pesanan yang dilakukan dalam aplikasi ini, caj penghantaran dan pemprosesan akan dikenakan sebanyak RM5.

Untuk mencubanya, kemaskini atau muat-turun aplikasi KFC di Apple App Store atau Google Play Store dan seterusnya nikmati pengalaman memesan makanan yang lebih mudah dan pantas.