Carian
Membongkar Mitos Diet Diabetes – Apa Yang Perlu Anda Tahu?
September 26, 2022 Lina Rosli

Apabila bercakap mengenai diabetes, pasti anda tertanya-tanya, apakah diet yang perlu diamalkan dan adakah terdapat pantang larang yang perlu dipraktikkan oleh pesakit diabetes.

Malah, untuk sesetengah isu, ianya seringkali menimbulkan kekeliruan dalam kalangan individu akan kebaikan dan keburukan sesuatu tabiat kepada diri.

Oleh itu, untuk memahami kesulitan yang dialami pesakit diabetes dan juga penjaga mereka dalam menyediakan hidangan harian yang bersesuaian, Kempen For Your Sweetheart bersama-sama dengan Cik Poh Kai Ling yang merupakan Ahli Majlis Diabetes Malaysia (DM) serta bekas Ahli Jawatankuasa Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) telah berkongsi akan mitos yang sering digunapakai individu berkenaan dengan diabetes.

Membongkar Mitos Diet Diabetes

Tidak dinafikan, ianya adalah penting untuk setiap individu memahami semua fakta tentang diabetes kerana ia berfungsi untuk memberikan nilai tambah dalam membantu membuat keputusan yang tepat tentang pemakanan sihat bagi pesakit diabetes.

Beberapa mitos yang wujud terutamanya bagi pesakit dan penjaga yang baru didiagnosis termasuklah:

  • Melewatkan waktu makan bagi mengawal paras gula darah yang turun naik
  • Pengambilan produk ‘bebas gula’ atau digantikan dengan gula gantian
  • Larangan pengambilan kentang, keledek, labu dan jagung dalam diet harian

Mengupas sedikit sebanyak mengenai mitos melewatkan waktu makan atau kurang makan, tabiat ini dikatakan tidak memberi impak dalam mengurangkan paras gula dalam darah. Oleh itu, individu dinasihatkan untuk kekal patuh dalam mengikuti rutin makan harian seperti yang dicadangkan oleh pakar iaitu untuk makan bila terasa lapar, dan bila badan memerlukannya.

Hal ini kerana, mengabaikan tanda-tanda kelaparan hanya akan meningkatkan selera makan yang bertambah hingga menyukarkan bagi individu tersebut untuk mengawal pengambilan makanan dalam hidangan berikutnya. Selain itu, individu juga digalakkan untuk membaca label makanan sebelum mengambilnya kerana ia membantu memahami kandungan nutrisi dengan lebih baik, kerana tidak semua produk bebas-gula adalah bebas-karbohidrat.

Untuk mitos pengambilan kentang, keledek, labu dan jagung dalam diet, makanan ini sememangnya akan meningkatkan paras gula dalam darah. Walau bagaimanapun, sayur-sayuran berkanji ini juga sangat berkhasiat dan mengandungi pelbagai vitamin, mineral, antioksidan dan serat yang penting untuk tubuh kita.

Pengambilan makanan jenis ini tidak sepatutnya dielakkan. Yang penting adalah mengawal saiz hidangan. 

Apakah Hidangan Yang Perlu Diambil Oleh Pesakit Diabetes?

Secara umumnya, diet untuk pesakit diabetes tidak harusnya terlalu ketat sehingga boleh mendatangkan kemudaratan yang lain.

Oleh itu, apa yang penting adalah kesemua makanan dan minuman ini diambil dalam kuantiti yang terkawal.

Hal ini kerana, jika anda mengehadkan pilihan makanan seseorang, ia bukan sahaja menjadikan aktiviti makan dan minum menjadi bosan, tetapi juga memberikan impak mindset yang negatif dalam diri pesakit. Jadi, apa yang perlu dilakukan adalah ,empelajari tentang Indeks Glisemik (GI) bagi sesuatu makanan.

Apa itu GI? Bagi yang tidak mengetahui, GI adalah nilai untuk mengukur kadar kepantasan karbohidrat dalam makanan meningkatkan glukosa dalam darah. Oleh yang demikian, sekiranya makanan yang diambil mempunyai nilai GI rendah (antara 0-55), ia dianggap sebagai makanan dengan karbohidrat yang baik. Sementara jika nilai GI adalah tinggi (70-100), ia akan dianggap karbohidrat yang tidak baik.

Semakin tinggi nilai GI, semakin besar kesan ke atas paras gula dalam darah. Memahami GI makanan boleh membantu kita dalam mengawal diabetes dan secara serentak dapat mengira pengambilan karbohidrat.

Catatan Kadar Diabetes – Di Manakah Kedudukan Malaysia?

Tahukah anda, malaysia kini mencatatkan kadar diabetes tertinggi di Asia, iaitu 17.5% dengan lebih 3.5 juta rakyat Malaysia hidup dengan keadaan ini.

Berdasarkan Manual Pendidikan Diabetes 2020 yang diterbitkan oleh MDES melaporkan bahawa berdasarkan trend semasa, dianggarkan tujuh juta orang dewasa Malaysia berkemungkinan menghidap diabetes menjelang 2025.

Jadi, perkara utama yang perlu dilaksanakan oleh semua individu dalam menangani masalah diabetes adalah dengan cara memupuk kesedaran akan kesan diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia. Di sini, kempen For Your Sweetheart bertindak sebagai medium yang akan menggalakkan semua rakyat untuk melakukan pengesanan awal diabetes.

Perkara ini merujuk kepada rakyat Malaysia yang berisiko tinggi atau mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidapi diabetes yang mana mereka digalakkan untuk menjalani ujian pengesanan awal yang disediakan secara percuma di klinik atau pusat kesihatan yang mengambil bahagian.

Bagaimana untuk mendapatkannya? Anda boleh mula layari laman rasmi Kempen For Your Sweetheart bermula hari ini. Saringan Diabetes HbA1c percuma ini dijangka akan berlangsung sehingga 31 Disember 2022.  

Komen