Jika anda perasan, timun merupakan antara sayuran yang sering digunakan dalam produk kecantikan yang dijual di pasaran. Ini kerana timun dilengkapi dengan kelebihan anti-radang selain turut menawarkan jumlah air dan serat larut yang baik, menjadikannya ideal untuk menggalakkan penghidratan pada kulit muka.
Secara umumnya, berbeza dengan kebanyakan sayuran dan buah-buahan yang lain, timun juga lebih mudah untuk didapati di kedai-kedai. Ini sekaligus menjadikan timun antara bahan yang praktikal untuk digunakan sebagai bahan kecantikan pada bila-bila masa.

Apakah Kelebihan Timun Untuk Kulit?
Dilengkapi dengan vitamin, mineral dan nutrien lain, timun adalah salah satu bahan semula jadi yang boleh membantu memberi manfaat kepada kulit anda dalam beberapa aspek.
Berikut adalah beberapa faedah tersebut:
Mengurangkan bengkak dan kesembapan kulit
Dalam satu kajian yang dijalankan pada tahun 2012, ia menunjukkan bahawa timun mempunyai keupayaan untuk mengurangkan bengkak dan kesembapan pada kulit. Hal ini kerana, kandungan air yang tinggi membantu dalam menghidratkan kulit selain paras suhu sejuk mengurangkan aliran darah ke ruang sekeliling mata anda.
Dengan ini, ia sedikit sebanyak membantu dalam menenangkan kulit di sekeliling mata dan sekaligus menyurutkan kesan bengkak.

Mengurangkan Keradangan Kulit Yang Bermasalah
Untuk pengetahuan anda, kulit yang berminyak dan sel kulit mati adalah punca yang akan menyebabkan ruang-ruang pori tersumbat sehingga boleh mencetuskan jerawat.
Oleh sebab itu, timun dikenali dengan sifatnya yang ringan. Jadinya, ia boleh membantu membersihkan kulit dan mengetatkan liang-liang agar dapat mengurangkan risiko penularan jerawat dan masalah kulit.
Sementara untuk kulit yang mudah mengalami kerengsaan seperti ruam ataupun selaran matahari, timun bertindak baik dalam mengurangkan kesan-kesan fizikalnya pada kulit.
Membantu Memerangi Penuaan Pramatang
Menurut kajian tahun 2011 pula, komponen antioksidan dalam timun berpotensi menjadi bahan yang menghalang pertambahan kedutan dalam kulit.
Ditambah lagi dengan kehadiran vitamin C dan asid folik, ia bukan sahaja dapat melawan toksin persekitarn, tetapi juga merangsang pertumbuhan sel baru yang boleh membuatkan kulit tampak lebih muda dan segar berbanding sebelumnya.

Jadi, benarkah timun memberikan kebaikan kepada kulit? Jawapannya, ya. Di dalam timun terkandung pelbagai manfaat yang bukan sekadar untuk kulit, tetapi juga untuk tubuh badan. Selain digunakan di dalam produk kecantikan, anda juga boleh mengambil timun sebagai snek di dalam diet harian anda.