Carian
puisi : kisah yang memanjat alis 3 oktober 2022 oleh amir hadi
October 3, 2022 Amirhadi

Kautahu, tempat kegemaranku masih dua, dalam telapak tanganmu dan di sela rambut lurusmu. Kaumelihat aku dengan kelopak matamu yang semakin uzur, perlahan-lahan, wajahku sirna daripada penglihatanmu kerana sikap kebencian yang diam-diam memadam kisah antara kita, ratna. Masihkah kauingat, kekasihku? Saat ucapan terima kasih pertamamu yang masih remaja tertinggal di hatiku sebagai haiku – aku menjaganya dengan baik-baik saja.

Aku yakin, tidak ada sepatah ayat pun yang terkoyak. Namun aku pula sebaliknya. Kaumemusnahkan maruah aku di saat presentasi pendidikan islam di hadapan kelas dan mata-mata semuanya memandang aku dengan penuh kebencian, seraya mataku memandang semua manusia dengan penuh pengharapan, sembari aku gelisah, tentang apa yang terbaik untuk menjaga hubungan antara kita yang telah punah?

Arus sungai di tangan semakin jalang – memperlihatkan uratku yang tegang. Jika aku mendengar bisikan-bisikan daripada hati, akan saja aku merosakkan harta benda aku kerana segalanya telah dimetaforakan perasaan dan dihiperbolakan mata. Kekasih, aku ingin kauhafal, inversi adalah nama lain yang sesuai bagi menggantikan dunia.

Ingatanku semakin lama semakin kuat, wajahmu semakin lama semakin mendekat, waktu adalah musuh – Menyusun dirinya menjadi tubuhmu, oh, ratna.

Oh perempuanku,

Siling kamar menjadi pudar, lantas mataku terpejam dan aku bukan lagi lelaki nokturna.

Komen