Bulan Oktober merupakan bulan yang cukup dikenali dengan bulan kesedaran kempen payudara sedunia yang mana pada setiap tahun kebanyakan institusi kesihatan akan melakukan pelbagai inisiatif dan pendedahan kepada umum akan kepentingan mengetahui tanda-tanda awal kanser payudara.
Untuk pengetahuan anda, terdapat dua jenis kanser payudara yang kerap dialami individu iaitu kanser invasif dan kanser tidak invasif.
Kanser payudara jenis invasif adalah kanser yang tidak duduk atau statik berada di satu-satu tempat sahaja. Ini bermaksud kanser ini akan merebak ke bahagian badan melalui salur darah dan limpa. Sementara, kanser yang tidak invasif pula sebaliknya, tetap di satu tempat.
Selain kanser payudara, antara kanser yang turut digeruni ramai adalah kanser ovari. Ia mempunyai gejala dan faktor risiko yang berbeza. Namun, para wanita masih perlu mengetahui cara untuk mengenalpasti kedua-dua kanser ini kerana risiko ke atas kesihatan akan meningkat seiring dengan usia.
Jumlah Penghidap Kanser Di Malaysia
Sehingga tahun 2020, seramai 49,000 rakyat Malaysia dianggarkan telah menghidapi kanser dan angka ini dijangka akan terus meningkat mencecah 66,000 individu setahun menjelang 2030.
Bukan itu sahaja, jumlah kes kanser payudara juga dijangka akan melonjak sehingga ke 49 peratus dari tahun 2012 ke 2025, dan Malaysia mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun (five year survival rate) sebanyak 63% untuk para penghidap.
Ia merupakan satu nilai yang rendah kerana jika dibandingkan dengan rakyat di negara Korea Selatan yang mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sebanyak 92% dan Singapura sebanyak 80%, menjadikan perkara ini sesuatu yang perlu diketengahkan dan diberi lebih perhatian.
Oleh itu, bagi meningkatkan kesedaran akan kesihatan payudara, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) telah melaksanakan kempen yang boleh membantu para wanita mengenali lebih lanjut tentang gejala dan risiko kanser selain memahami keadaan ginekologi mereka dengan lebih baik. Dengan ini, ia sekaligus akan membawa kepada langkah pengesanan lebih awal sekiranya terdapat sebarang keperluan untuk mendapatkan rawatan seawal mungkin.
Peka Dengan Sebarang Perubahan Pada Tubuh
Berdasarkan perkongsian Pakar Perunding Pembedahan Am, Payudara dan Endokrin di SMCV, Dr Suziah Mokhtar, kira-kira satu dari 27 orang wanita dewasa berisiko mendapat kanser payudara sepanjang hidupnya.
Ini berkemungkinan semakin meningkat sekiranya wanita tersebut mempunyai seorang ahli keluarga terdekat sama ada ibu, adik-beradik dan anak perempuan yang pernah mengalami kanser seperti payudara dan ovari.
Bukan itu sahaja, bagi kebanyakan kes juga, ia bersifar sporadik yang mana kanser berlaku akibat daripada kerosakan gen yang terjadi secara kebetulan sewaktu dewasa.
Walau bagaimanapun, setakat ini, tiada risiko untuk anak-anak pesakit kanser mewarisi gen tersebut. Kanser yang diwarisi hanya merangkumi 5 hingga 10% daripada kesemua kanser payudara dan terjadi apabila berlakunya mutasi yang melibatkan gen BRCA1, BRCA2 dan PALB2 yang diwariskan daripada ibu bapa kepada anaknya.
Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan sebagai penyebab kanser payudara termasuklah hasil gabungan fisiologi dalaman, hormon, gaya hidup dan faktor-faktor persekitaran.
Mengupas lanjut tentang kanser payudara jenis invasif yang telah disebutkan tadi, kebanyakan kanser ini berlaku di dalam saluran susu atau milk duct yang mana ia merangkumi 70 hingga 80% daripada kes kanser payudara.
Dan antara gejala kanser payudara yang biasanya dialami oleh pesakit termasuklah:
- ketulan di payudara
- perubahan pada puting dan sakit di payudara
- ketulan di ketiak yang selalunya dianggap sebagai bengkak nodus limpa biasa
- perubahan pada kulit payudara yang kebiasaanya dianggap sebagai ekzema atau alergi
Ada juga simptom lain yang diakibatkan oleh perebakan sel kanser ke organ-organ berdekatan seperti merebak ke paru-paru menyebabkan batuk dan sukar bernafas, merebak ke hati menyebabkan penyakit kuning dan busung (ascites) dan merebak ke otak menyebabkan sakit kepala berterusan.
Namun begitu, pengesanan awal kanser payudara boleh membawa kepada hasil rawatan yang lebih baik. Mamogram, ujian saringan yang paling utama digunakan untuk mengesan kanser payudara di kalangan wanita berusia lebih 40 tahun telah membawa kepada pengurangan kes kematian sebanyak hampir 20%.
Bagi wanita yang berusia lebih muda, ujian saringan ultrasound boleh dilakukan. Mereka yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat kanser payudara, digalakkan untuk menjalani ujian saringan seawal usia 30 tahun.
Rawatan kanser payudara terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi endokrin dan terapi bersasar (targeted therapy). Walaupun begitu, Dr. Suziah menekankan bahawa setiap pesakit mungkin diberikan kombinasi rawatan yang berlainan bergantung kepada tahap kanser pesakit.
Kepentingan Pendidikan Kesihatan Ovari Dalam Kalangan Wanita
Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) pada tahun 2020 telah memaklumkan bahawa terdapat 1,836 kes kanser ovari terbaru di Malaysia, menjadikan ia kanser ketiga yang selalu dihadapi wanita di Malaysia selepas kanser payudara dan kanser usus.
Kanser ovari lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia sekitar umur 60 hingga 65 tahun dengan lebih 50% pesakit didiagnos di tahap 3 atau 4 kanser tersebut.
Setakat ini, untuk mengesan kanser ovari, hanya imbasan transvaginal dan ujian penanda tumor CA 125 yang akan digunakan tetapi dengan limitasi. Imbasan transvaginal boleh mengesan sebarang tisu bermasalah tetapi terdapat sedikit kesukaran untuk membezakan tumor benigna (sel tidak berkanser) daripada tumor malignan (sel berkanser), manakala ujian penanda tumor CA 125 adalah sejenis ujian yang bagus digunakan untuk memantau rawatan tetapi ia tidak bertujuan untuk mengesan kanser.
Untuk mengetahui gejala awal kanser ovari, berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda selidiki dan kenalpasti:
- Masalah kembung perut
- Ketidakselesaan perut
- Kekerapan membuang air kecil
- Sembelit
- Rasa cepat kenyang
- Penurunan berat badan
- Keletihan dan sakit belakang
Menurut Dr Wong Yen Shi, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, kanser ini juga boleh disalah anggap sebagai benigna tumor ovari, uterine fibroid, endometriosis dan sindrom pra-haid.
Dengan ini, kita dapat lihat akan kepentingan untuk mengetahui tanda-tanda awal kanser. Maka, apa yang perlu dilakukan oleh setiap individu adalah jadikan ujian saringan kesihatan serta saringan diabetes, jantung, payudara dan serviks sebagai rutin untuk mengetahui tentang keadaan diri anda.
Amalkan pemakanan sihat dan selalulah bersenam – jaga kesihatan mental, dapatkan tidur secukupnya dan kawal tekanan untuk menjaga kesihatan anda secara menyeluruh.