Selepas diperkenalkan di beberapa buah negara, kini tiba giliran McDonald’s Malaysia pula menawarkan ban roti serba baharu bagi hidangan burger mereka.

Bagi yang tidak mengetahui, ban roti ini mula hadir di dalam menu McD sejak Jun 2019 yang mana negara pertama yang menggunakannya adalah Australia. Kemudian, diikuti oleh negara Canada (Ogos 2019), Korea Selatan (Jun 2020), Itali (Oktober 2021), Sepanyol (April 2022), Hong Kong (Ogos 2022) dan yang paling terkini Malaysia bermula 13 Oktober 2022.

Berdasarkan perkongsian di laman Instagram McDonald’s, rupa luaran ban roti ini tampak lebih berkilat dan mempunyai tekstur yang lebih teguh berbanding sebelumnya. Ini kerana pada resipi baharu, McD telah memasukkan lebih banyak kelembapan bagi tujuan menahan lebih banyak haba sewaktu dihidangkan kepada pelanggan.
Untuk mencubanya, anda boleh mula melakukan pesanan burger kegemaran anda mulai hari ini dan rasai perbezaan dalam setiap gigitan.