Apa Yang Terjadi Sekiranya Anda Terlebih Tidur?
Lina Rosli
Secara umumnya, tidur adalah satu proses yang dilakukan oleh tubuh badan untuk merehatkan diri selepas bekerja kuat pada siang hari. Ia merupakan keperluan yang sangat penting untuk kesihatan kerana sewaktu tidurlah organ dalam tubuh boleh ‘refresh‘ kembali tenaga selepas seharian berjaga.
Walaupun semua individu memerlukan tidur, namun apabila merujuk kepada berapa banyak tidur yang mereka perlukan untuk berasa berehat, ianya akan menjadi berbeza.
Sebagai contoh, durasi tidur selama lapan jam adalah tempoh yang disarankan oleh pakar. Tetapi ada individu yang mungkin memerlukan hanya 6 jam untuk berasa baik, dan yang lain memerlukan 9 jam penuh untuk kesan yang sama.

Faktor Yang Boleh Menyebabkan Anda Tidur Lebih Banyak Dari Biasa
Selain daripada berasa penat dan juga kurang tidur pada hari sebelumnya, terdapat beberapa faktor yang boleh memberi kesan kepada jumlah tidur biasa. Antaranya semasa tempoh tekanan atau sakit yang mana anda mungkin merasakan peningkatan keperluan untuk tidur.
Selain itu, bagi individu yang mengalami hipersomnia, tidur berlebihan sebenarnya adalah gangguan perubatan. Keadaan ini menyebabkan individu mengalami rasa mengantuk yang melampau sepanjang hari, yang biasanya tidak lega dengan tidur siang. Ia juga menyebabkan mereka tidur untuk jangka masa yang luar biasa pada waktu malam.
Kebanyakan individu yang mengalami hipersomnia mengalami simptom seperti kebimbangan, tenaga rendah, dan masalah ingatan akibat keperluan tidur yang hampir berterusan.

Kesan Tabiat Tidur Berlebihan – Bukan Disebabkan Oleh Faktor Kesihatan
Sebaliknya, jika tidur berlebihan menjadi kebiasaan, di situlah wujudnya satu masalah.
Terlalu banyak tidur sama seperti terlalu banyak melakukan perkara lain seperti makan terlalu banyak gula atau terlalu banyak bersenam yang mana ia boleh mendatang kemudaratan.
Menurut kajian oleh Program Penyelidikan Tidur dan Kesihatan di Kolej Perubatan Universiti Arizona, tidur terlalu banyak secara tetap boleh mendatangkan kesan buruk. Dalam kajian tersebut, mereka mendapati individu yang kerap tidur antara 9 hingga 11 jam setiap malam mempunyai peningkatan risiko penyakit jantung.
Ia juga turut dikaitkan dengan kemurungan dan penambahan berat badan. Berdasarkan satu kajian baru-baru ini, ia menunjukkan bahawa orang yang tidur berlebihan setiap malam mempunyai 21% lebih berkemungkinan menjadi obes dalam tempoh enam tahun berbanding orang yang tidur antara 7 hingga 8 jam. Perkaitan antara tidur dan obesiti ini kekal sama walaupun pengambilan makanan dan senaman diambil kira.

Bukan itu sahaja, terdapat juga risiko bagi sesetengah individu mengalami sakit kepala akibat daripada tidur lebih lama daripada biasa pada hujung minggu atau waktu cuti. Penyelidik percaya ini disebabkan oleh kesan tidur berlebihan pada neurotransmitter tertentu di dalam otak, termasuk serotonin.
Individu yang tidur terlalu banyak pada waktu siang dan mengganggu tidur malam mereka juga mungkin mengalami sakit kepala pada waktu pagi.